Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 14, 2014

KUANTAN - IKLAN 'HALAL' DALAM LAMAN WEB


Minuman keras yang ditemui di dapur restoran di Sri Dagangan 2 ketika pemantauan semalam.

Kuantan - Dua restoran popular dalam kalangan pelanggan Islam diberi amaran oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam kerana dikesan menggunakan representasi ‘halal’ di laman webnya.

Lebih menyedihkan, dua restoran itu tidak pernah memohon ‘Sijil Halal’ dan menjual minuman keras serta berkongsi tempat membasuh gelas arak dan minuman lain.

Satu daripada restoran yang dikesan itu tidak menggunakan perkhidmatan pekerja Islam manakala satu restoran lagi mempunyai dua pekerja Islam dan seorang daripada mereka adalah warga asing.

Restoran yang terletak di Jalan Beserah menghala ke Sungai Karang dan sebuah lagi di Sri Dagangan 2 itu juga tidak pernah memohon Sijil Halal dan kebersihan persekitarannya juga tidak memuaskan.

Ketua Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan bin Abdul Manan berkata, pemeriksaan ke atas restoran di Sri Dagangan 2, Penguatkuasanya menjumpai satu botol arak (liquor) namun tukang masak mengaku arak berkenaan adalah miliknya untuk diminum.

Menurutnya, keadaan dapurnya kurang bersih dan hasil siasatan juga mendapati hanya dua pekerja Islam yang bekerja iaitu sorang mualaf dan seorang lagi dari Myanmar namun tidak memahami maksud sebenar ‘halal’.

“Siasatan terperinci akan dilakukan kerana terdapat minuman keras di dapurnya tetapi mendakwa restoran itu menghidangkan makanan halal,” katanya.

Katanya, pemantauan di restoran itu kira-kira jam 10.30 pagi mendapati tukang masak dan pekerja sedang membuat persiapan memasak untuk pelanggan menjamu selera.

Noridzuan berkata, hasil aduan orang ramai, Jaip mengesan laman webnya yang memaklumkan mereka menyediakan masakan Cina yang sesuai untuk umat Islam selain menyediakan dewan untuk lebih 1,000 pelanggan.

Sementara itu, siasatan awal di restoran di Jalan Beserah kira-kira jam 12.30 tengah hari mendapati pengurusannya tidak menggaji pekerja Islam.

“Dalam laman webnya, pengurusan restoran menguar-uarkan restoran berkenaan popular dalam kalangan pelancong yang datang di Pantai Timur kerana boleh menikmati keindahan pantai dan bunyi ombak,” katanya.

Ketika pemantauan itu katanya, Penguatkuasa menanggalkan semua salinan sijil halal ramuan dan sijil penyembelihan yang boleh mengelirukan umat Islam.

Katanya, selepas bertemu kedua-dua pihak pengurusan, mereka mengaku tidak pernah memohon sijil halal, tiada sijil halal malah tidak berminat memohon sijil halal.

“Umat Islam dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan iklan ‘halal’ yang diuar-uarkan melalui laman sosial sebaliknya bertanya dan berkongsi pengetahuan bagi memastikan makanan yang dimakan sesuai syariat Islam,” katanya.

Bagi mengelakkan kekeliruan pelanggan Islam, Noridzuan berkata, pihaknya memberi amaran membuang tulisan ‘halal’ dalam laman webnya dan jika terus berdegil akan berdepan tindakan di bawah Akta Perihal Dadangan 2011, Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal.

Pemantauan dilakukan bersama kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

0 comments:

share2