Kuantan - Hasrat lima rakan datang ke pusat peranginan Pantai Teluk Cempedak di sini sempena cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas dihanyutkan ombak ketika mandi, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, salah seorang mangsa, V Saravanan, 18 berasal dari Jalan Damai Perdana 3/3A Bandar Damansara Kuala Lumpur ditemui mati lemas manakala rakannya, Dinesh Danaseelan dari Puchong, Selangor berjaya diselamatkan.
Gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa dijalankan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selepas menerima laporan berhubung tragedi tersebut.
Jurucakap JPAM, Mustaqim Ariff berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas bersama beberapa rakan lain di kawasan pantai tersebut.
Menurutnya, dia terdengar suara jeritan meminta tolong dan dimaklumkan dua pengunjung lemas ketika sedang mandi-manda.
“Saya bersama empat rakan berenang ke kawasan dua rakan itu tenggelam dan mangsa pertama berjaya diselamatkan kira-kira 10 minit kemudian.
“Mangsa yang terselamat bagaimanapun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan luka di badannya dipercayai akibat terkena batu,” katanya.
Mustaqim berkata, mangsa kedua berjaya ditemui 15 minit kemudian bagaimanapun keadaannya sudah kaku dan disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mat Karim Ayob, 42 berkata, dia ternampak mangsa tenggelam timbul sebelum hilang.
“Saya cuba membantu namun membatalkan hasrat itu selepas melihat keadaan ombak yang agak besar.
“Saya mengambil keputusan memanggil anggota JPAM yang bertugas untuk membantu menyelamatkan mangsa namun agak mendukacitakan salah seorang daripada mangsa mati lemas,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima laporan melalui talian kecemasan 999 berhubung kejadian kira-kira jam 2.08 petang.
Menurutnya, kejadian dimaklumkan kepada JPAM dan Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang untuk bantuan menyelamat mangsa yang lemas.
“Semasa polis tiba di lokasi, kita dimaklumkan bahawa salah seorang mangsa ditemui mati lemas kira-kira jam 2.30 petang manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala rakannya yang selamat turut dihantar ke hospital sama menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Susulan kejadian lemas itu, Abdul Aziz meminta pengunjung pantai peranginan di daerah ini supaya lebih berhati-hati dan mematuhi sebarang amaran yang dikeluarkan sekiranya keadaan tidak sesuai dan berisiko untuk mereka mandi.
0 comments:
Post a Comment