Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 24, 2014

JERANTUT : DIESEL SUBSIDI DIRAMPAS

Anggota penguatkuasa memeriksa tangki yang menyimpan diesel dalam satu serbuan di sebuah premis di Kuala Lipis.


JERANTUT – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut berjaya merampas 11,200 liter diesel subsidi bernilai RM29,120 dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Sungai Mun Kuala Lipis, Selasa lalu.

Ketua Cawangan KPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat berkata, serbuan jam 12.20 petang itu turut menahan seorang lelaki dipercayai penyelia kawasan tersebut.

Menurutnya, dalam serbuan itu, penguat kuasa KPDNKK Jerantut mendapati sebuah tangki besar menampung sehingga 11,200 liter diesel dan kerana pihak premis tidak ada surat kebenaran, minyak tersebut terpaksa dirampas.

“Serbuan dan rampasan itu dibuat hasil risikan dijalankan penguatkuasa Jerantut selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan itu.

“Serbuan itu antara kejayaan terbesar bagi daerah Jerantut tahun ini dengan usaha membanteras kegiatan seperti itu akan giat dijalankan,” katanya pada sidang media di PPDNKK Jerantut.

Che Hanafi berkata, lelaki yang ditahan tersebut telah dibebaskan selepas diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Akta Bekalan 1961.

Pada sidang media yang sama, Che Hanafi menasihati orang ramai dan pihak terlibat dalam industri supaya menggunakan diesel yang sah.



0 comments:

share2