Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 30, 2014

HUKUMAN GANTUNG KELAR LEHER ANAK SAUDARA



Seremban: Seorang lelaki warga emas yang membunuh anak saudara perempuannya dengan mengelar leher mangsa tahun lalu menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan semalam selepas mendapati K Kanasan, 60, gagal dalam pembelaannya.

Dalam penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah berpuas hati selepas menilai keseluruhan hujah dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehubungan itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan membunuh pelajar kolej swasta, S Sinthuja, 19.

Mengikut kertas pertuduhan, Kanasan didakwa dengan niat membunuh hingga menyebabkan kematian Sinthuja di sebuah rumah di No 89, Jalan 5, Taman Desa Pelangi, Mantin, Nilai, dekat sini, antara jam 1.30 tengah hari hingga jam 8.30 malam, pada 4 Januari 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sebaik hukuman dijatuhkan, tertuduh yang memakai baju lokap jingga hanya tunduk ketika dibawa keluar oleh anggota polis.

Berdasarkan fakta kes, Sinthuja ditemui mati dengan kesan kelar pada leher oleh sepupunya dalam sebuah bilik di rumah tertuduh.

Hasil siasatan polis, tertuduh menjemput anak saudaranya yang juga pelajar tahun pertama di sebuah kolej di Sikamat, dekat sini, setiap hujung minggu dan membawanya pulang ke rumah sebelum dihantar pulang ke kolej pada petang Ahad.

Pada pada hari kejadian tertuduh mengambil mangsa pulang ke rumahnya pada jam 1.30 petang sebelum dia dilihat oleh seorang jiran, keluar rumah jam 6 petang untuk bekerja di sebuah kilang di Nilai, dekat sini.

Sepupu mangsa pulang ke rumah berkenaan jam 8.30 malam hari sama dan menemui mangsa atas lantai bilik dalam keadaan berlumuran darah lalu membuat laporan polis.

Siasatan polis menemui sebilah pisau pemotong daging atas tilam dalam bilik berkenaan dan hasil perbandingan cap jari terdapat kesan cap jari tertuduh.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Jamal Abbas.



0 comments:

share2