Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 23, 2014

SUHAKAM: MANSUH HUKUMAN MATI MANDATORI


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia

Kuala Lumpur - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong langkah Malaysia menyertai beberapa negara yang memansuhkan hukuman mati mandatori, terutama ke atas pengedar dadah.

Naib Presidennya, Dr Khaw Lake Tee optimistik bahawa pegawai di Pejabat Peguam Negara yang kini mengkaji perkara itu secara komprehensif, akan mengemukakan syor positif menjelang hujung tahun ini.

"Kita berharap sesuatu yang positif dalam perkara ini memandangkan tidak semua yang didakwa di mahkamah adalah anggota sindiket atau kartel dadah," katanya.

Pada sesi taklimat kepada media berhubung Semakan Berkala Sejagat (UPR) Kedua Malaysia di ibu pejabat Suhakam di sini hari ini, beliau berkata kerajaan telah separa bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, iaitu satu daripada syor Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Beliau berkata Suhakam menjalin kerjasama dengan Majlis Peguam, anggota Parlimen, menteri luar dan pihak berkepentingan lain berhubung keperluan mahkamah (hakim) diberi kuasa budi bicara dalam mengenakan hukuman lebih wajar termasuk penjara seumur hidup.

UPR adalah satu mekanisme yang diwujudkan oleh UNHRC bagi memperbaiki situasi hak asasi manusia di setiap 193 negara anggota PBB dengan menyemak rekod mereka berhubung perkara itu setiap empat tahun setengah.

Meskipun bersetuju bahawa Malaysia adalah satu daripada pusat transit dadah di mana pihak berkuasa perlu bertindak keras terhadap pengedar dadah, Khaw berkata apa yang perlu dipertimbang ialah jumlah kes membabitkan mereka yang tidak bersalah termasuk wanita yang diperalat sebagai keldai dadah.

Mengikut undang-undang Malaysia, kesalahan berkaitan dadah, bunuh dan melancarkan perang terhadap pemerintah atau Yang-Dipertuan Agong membawa hukuman mati mandatori.

Beliau juga berkata Malaysia menerima 150 daripada 232 syor yang dikemukakan negara anggota lain. 

Antaranya, pengagihan lebih banyak dana untuk mempromosi hak orang kurang upaya terutama dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan perumahan.

0 comments:

share2