Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 31, 2014

SENGSARA DISELUBUNGI DEBU


Keadaan lori yang keluar masuk mengundang rasa resah sebilangan penduduk di kawasan berkenaan.

Kajang - Penduduk di Lorong Serai 7, Kampung Sungai Serai resah dengan tindakan seorang pemilik tanah di sini yang melakukan penambakan tanpa had sehingga mengundang pencemaran kepada alam sekitar.

Lebih merunsingkan mereka, proses itu menyebabkan kehadiran kenderaan berat yang sering keluar masuk bagi menghantar muatan.

Menurut salah seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rozi, 39, tindakan tersebut mengundang keadaan kacau ganggu khususnya kepada penduduk di kawasan berhampiran.

“Lori yang menghantar muatan tanah menyebabkan keadaan sekitar menjadi sangat berdebu terutamanya pada musim panas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Lori-lori berkenaan dikatakan keluar masuk ke kawasan itu dengan memulakan operasi sekitar jam 6 pagi dan berakhir 11 malam.

Katanya, dianggarkan kira-kira 20 lori akan memasuki kawasan berkenaan pada setiap hari dan keadaan itu turut mengancam keselamatan penduduk di sini.

“Kebanyakannya yang keluar masuk ini lori 10 tan...ada kalanya mereka bawa lebih muatan.

“Selain mengancam nyawa penduduk, ia turut merosakkan keadaan infrastruktur seperti longkang dan jalan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zaidah, 42, berkata keadaan habuk di kawasan berkenaan turut menyebabkan ibu saudaranya dimasukkan ke wad pada malam hari raya pertama kerana paru-paru dijangkiti kuman.

Menurut Zaidah, sekiranya tiada tindakan diambil, penduduk di kawasan berhampiran akan turut terjejas dan mengalami nasib sama.

“Kebanyakan pekerja di situ adalah warga asing. Masalah debu yang berlaku di sini memang tidak ada pemantauan," katanya.

Pihaknya telah memanjangkan hal berkenaan kepada pemimpin setempat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

Jelasnya, penduduk tidak membantah sekiranya pemilik ingin menambak tanah di kawasan itu namun proses dan kerja-kerja haruslah dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Kita tak halang tapi janganlah tambak begitu tinggi sehingga kami terpaksa hidu debu setiap hari,” katanya.

0 comments:

share2