Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 17, 2014

PROSES SENDIRI TEH MISAI KUCING



YAKINKAH anda bahawa produk Misai Kucing yang terdapat di pasaran adalah 100 peratus bahagian daun yang dikeringkan? 

Apapun terdapat kemungkinan produk itu terdiri daripada campuran daun, batang dan akar.

Dan tahukah anda bahawa khasiat herba itu terletak terutama di bahagian daunnya?

Buku ilmiah herba tempatan sering memuji Misai Kucing atau nama botaninya Orthosiphon aristatus sebagai sejenis tumbuhan herba renik tempatan yang popular dengan pelbagai kebaikan.

Ia mudah tumbuh dan biasanya ditemui di pinggir-pinggir hutan, namun kini diladangkan secara komersial serta sering ditanam sebagai pokok hiasan. 

Misai Kucing (yang juga dikenali sebagai Java Tea dalam kalangan penyelidik barat), adalah antara herba yang dikaji secara meluas malah banyak kajian saintifik mengesahkan manfaatnya selain menemui beberapa penemuan baru.

Antara manfaat paling penting ekstrak herba itu ialah sifat melawas kencing yang memainkan peranan dalam mengatasi pelbagai masalah buah pinggang, radang pundi kencing dan gout.

Saintis mendapati Misai Kucing mempunyai sekurang-kurangnya 30 jenis bahan kimia kompleks tumbuhan atau fitokimia yang kebanyakkannya membantu mengendurkan otot-otot salur darah sekaligus melancarkan aliran air kencing.

Kesan yang dikenali sebagai diuretik itu juga amat berguna bagi rawatan pelbagai penyakit, malah menjadikan ekstrak Misai Kucing antara ramuan dalam produk pelansingan badan dan penyahtoksikan cara barat.

elain baik untuk merawat masalah salur dan pundi kencing, sifat diuretik itu juga membantu menghalang pembentukan batu karang dan mengawal tekanan darah tinggi.

BANYAK MANFAAT 

Sama seperti ubat diuretik moden dalam bentuk tablet yang sering digunakan untuk rawatan darah tinggi, fitokimia dalam Misai Kucing berfungsi dengan cara menggalakkan pembuangan air dan ion garam dari darah sekaligus mengurangkan tekanan ke atas jantung.

Dalam rawatan kencing manis pula, kajian mendapati ekstrak Misai Kucing dapat mengurangkan kepekatan gula dalam darah dengan ketara iaitu mempunyai mekanisme yang serupa dengan ubat kencing manis moden.

Kajian turut menunjukkan kehadiran pelbagai fitokimia yang terdapat dalam Misai Kucing yang mempunyai sifat perencatan kolestrol.

Saintis mendapati, ekstrak keseluruhan tumbuhan itu mampu menghalang penghasilan sejenis enzim yang meningkatkan penghasilan kolestrol tidak baik (LDL) seterusnya menyebabkan salur darah tersumbat.

Lebih istimewa lagi apabila terdapat kajian yang mendapati, ada di antara bahan fitokimia dalam daun Misai Kucing yang boleh membantutkan sel tumor khususnya kanser kulit. 

Justeru, boleh disimpulkan bahawa amalan pengambilan teh Misai Kucing amat berguna sebagai pencegah dan rawatan pelbagai jenis penyakit yang kerap ditemui dalam masyarakat moden kini.

Malah ia jauh lebih murah berbanding ubat konvensional. Buku ‘Malaysian Herbal Heritage’ yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) baru-baru ini turut menyarankan pesakit yang mempunyai darah tinggi supaya mengamalkan minum rendaman dua atau tiga helai daun Misai Kucing ke dalam air panas.

Bagi membantu mengurangkan demam panas, edema, influenza, rheumatism dan hepatitis pula, pesakit digalakkan meminum air rebusan daun atau seluruh tumbuhan itu.

Manakala dalam membantu rawatan kencing manis, jaundis, batu karang, arteriosclerosis dan lemah jantung, daun Misai Kucing boleh digunakan bersama campuran herba lain.

PROSES SENDIRI 

Memandangkan pokok renek Misai Kucing mudah tumbuh subur di dalam pasu atau di perkarangan rumah, anda sebenarnya boleh memprosesnya sendiri di rumah untuk kegunaan harian. 

Lebih baik lagi herba yang diproses sendiri meyakinkan pengguna bahawa minuman herba yang anda gunakan itu dijamin tulen, bersih dan bebas daripada sebarang bahan kimia. 

Jika anda melawat taman Rimba Herba di Perlis, Pengawas Hutan, Hashim Saad yang bertindak sebagai jurupandu taman itu, sudi berkongsi pengetahuan beliau dalam memproses teh Misai Kucing secara kecil-kecilan.

Di taman itu, setiap langkah pemprosesan daun Misai Kucing dilakukan sendiri oleh kakitangan Rimba Herba tanpa penggunaan mesin. 

Mula-mula sekali, mereka akan ke ladang untuk memilih batang-batang pokok Misai Kucing yang telah matang dan memotongnya sepanjang kira-kira 16 inci (40.6 sentimeter).

Ia kemudiannya dibersihkan dan dibilas dengan air bersih sebelum disidai di atas rak bagi mengeringkannya dari sebarang kesan air.

Seterusnya, mereka akan mengasingkan daun dari batangnya serta memilih batang yang masih elok untuk direndamkan ke dalam baldi yang berisi sedikit air. 

Ini bagi membolehkan akar baru dapat tumbuh dari batang itu untuk ditanam semula dalam polibeg dan diatur kembali di ladang.

Sementara itu, daun yang telah diasingkan dirata ke atas beberapa para khas untuk dikeringkan di bawah cahaya matahari sehingga ia bertukar warna menjadi keperang-perangan. 

"Bergantung kepada keadaan cuaca, proses pengeringan itu akan mengambil masa sekitar satu minggu.

"Kemudian ia akan dimasukkan ke dalam oven pembakar kek selama kira-kira 15 minit sebelum disejukkan dan dikisar menggunakan pengisar kering", jelas Pak Hashim.

Hasil akhir itu disimpan di dalam bekas kedap udara dan boleh digunakan sama seperti membancuh teh biasa, iaitu samada dicelup dalam air mendidih atau direbus.

"Daun teh Misai Kucing yang kami proses ini bagaimanapun bukan untuk dijual, sebaliknya ia dihidangkan secara percuma sebagai minuman selamat datang kepada semua pengunjung Rimba Herba tidak kira samada seorang mahupun satu rombongan," tambahnya lagi.

"Ia juga dibotolkan sebagai cenderahati kepada tetamu khas", katanya mengakhiri perbualannya dengan Bernama. 

Pendek kata, memandangkan Misai Kucing amat mudah membiak dan mudah pula diproses dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan, barangkali ia boleh diusahakan oleh surirumah misalnya secara kecil-kecilan sebagai menambah pendapatan isi rumah.

0 comments:

share2