Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 31, 2014

PENJENAYAH GAGAL TEBUK LUBANG


Alatan yang digunakan penjenayah untuk menebuk lubang.

Seremban - Seorang pekerja kedai motosikal di Jalan Rasah di sini, terkejut melihat dinding kedainya ditebuk sebaik saja tiba untuk memulakan tugas selepas dua hari cuti umum sempena Aidilfitri.

Kejadian disedari kira-kira 8.40 pagi kelmarin dipercayai dilakukan penjenayah untuk memecah masuk kedai emas bersebelahan.

Ketika kejadian, pekerja yang dikenali sebagai Chew sedang menolak motosikal keluar dari kedainya sebelum melihat kesan tebukan pada dinding.

Pemilik kedai motor yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, dia ketahui perkara ini selepas pekerjanya itu memaklumkan kepadanya.

“Melihat kepada kesan tebukan itu, saya percaya kedai saya jadi sasaran penjenayah untuk menyelinap masuk ke kedai emas bersebelahan.

“Penjenayah itu memotong mangga untuk memecahkan dinding konkrit di bahagian tangga di kedai saya, sebelum menyelinap masuk ke stor kedai dengan menebuk lubang bagi membolehkan mereka menyelinap masuk ke pejabat kedai emas berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa alatan yang digunakan penjenayah turut ditinggalkan di situ.

“Saya masih tidak tahu berapa kerugian dialami kerana keadaan kedai berselerak. Tapi saya rasa ada beberapa buah topi kaledar yang diletakkan di kedai ini lesap," katanya.

0 comments:

share2