Georgetown - Bercinta dengan wanita Islam membuatkan lelaki yang pernah bergelar seorang pendakwah agama cuba memurtadkan teman wanitanya itu pada awalnya.
Azley Stanley berkata, ketika itu usianya baru saja mencecah 23 tahun dan sudah berniat untuk mengahwini wanita berkenaan.
“Saya tinggal di perkampungan orang Melayu dan amat sukakan cara hidup mereka, sehinggakan saya sendiri bercadang untuk memilih isteri dari kalangan orang Melayu,” katanya.
Aktif menyebarkan agamanya sendiri menyebabkan Azley membenci Islam dan salah satu puncanya apabila melihat ramai umat Islam yang tidak melaksanakan tuntutan agama mereka sendiri.
“Sampai saya terfikir, kenapa mereka tidak ke masjid dan ada antara kawan yang tidak bersembahyang dan sebagainya, sehingga saya melihat diri saya sebenarnya lebih baik kerana setiap minggu akan mengunjungi rumah ibadat, maksudnya saya lebih baik dan dari situ saya membenci Islam.
"Disebabkan itu jugalah setelah berkenalan dengan teman wanita menyebabkan saya berniat untuk memurtadkannya,” katanya.
Terlalu cinta teman wanita
Namun wanita yang dikenali dengan nama Nor Azizah itu lebih bijak dan berfikir panjang.
Dia yang kini sudah pun bergelar isteri kepada Azley mengakui mengetahui niat Azley untuk menariknya ke dalam agama lain ketika awal perkenalan.
“Disebabkan cinta kami bertahan, Azley pada awalnya sudah memberitahu kepada saya niatnya untuk mengahwini saya di rumah ibadatnya, tetapi saya kemudiannya dengan perlahan memberitahunya.
“Jika ingin berkahwin dengan cara itu, apa kata kahwin dulu dengan cara Islam, tapi sebelum berkahwin cara Islam kena belajar mengenai Islam, kalau tidak malu nanti kena tanya dengan tok kadi dan tak tahu jawab,” katanya.
Disebabkan terlalu mencintai Nor Azizah, Azley mengakui terpaksa juga ke Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bertemu Ustaz Yusuf untuk belajar selok-belok Islam.
Dia mengakui datang bertemu dengan ustaz berkenaan dengan ego yang begitu tinggi kerana beranggapan dirinya lebih baik.
Islam tidak hina Isa
Azley berkata, dia sendiri bersoal jawab dengan ustaz berkenaan dan menganggap soalannya antara yang terbaik bagi melawan kata-kata ustaz berkenaan.
Namun sangkaannya meleset, segala jawapan yang diberikan menyentuh jiwanya perlahan-lahan.
“Antara yang diberitahu Ustaz Yusuf ialah Islam percaya dengan Nabi Isa, dan itu membuatkan saya terkedu, sedangkan ketika mendengar ceramah agama saya satu ketika dahulu, mereka menghina Nabi Muhammad.
“Tetapi Islam tidak pernah menghina Isa, malah menceritakan kehebatan Nabi Isa, saya begitu kagum, dan pada masa itulah saya terfikir, apa beza saya sekarang, sama sahaja.
“Pada saat itu juga saya terfikir jika saya putus dengan agama saya sekalipun dan masuk Islam, hubungan saya dengan Isa tidak akan putus, kemudiannya dengan kuasa ALLAH selepas tiga hari menghadiri kelas agama, saya mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid
USM,” katanya.
Tidak tanggal rantai
Ceritanya bukan berakhir di situ saja, Azley berkata, terdapat kenangan yang begitu menjadikannya emosional.
“Saat saya pergi mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam masjid, pada masa itu saya masih tidak menanggalkan rantai lambang agama yang saya pakai, tetapi Ustaz Yusuf langsung tidak melarang dan hanya memerhatikan saya.
“Sehinggalah saya pulang ke rumah dan berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa, akhirnya sehingga kini Islamlah pegangan saya,” katanya.
Walaupun ibu dan ayahnya menjauhi dirinya buat seketika, namun lama kelamaan mereka memahami kepercayaan baru yang dianutinya.
Azley bertuah apabila ayahnya sendiri membelikannya sejadah dan menyediakan ruang solat di rumahnya untuk memudahkan Azley bersolat.
Tetapi tiada yang lebih bertuah apabila kedua ibu-bapanya itu turut memeluk Islam pada 2011, namun ALLAH lebih menyayangi mereka dan kedua-duanya meninggal pada 2012 namun pada bulan yang berbeza.
Di akhir katanya, Azley mengakui dia memilih jalan yang paling benar dan bersyukur apabila melihat anaknya kini dilahirkan sebagai Islam.
“Cuma apa yang saya bimbangkan adalah adakah Islam mereka sekadar nama dan benar-benar kukuh, jadi itulah tanggungjawab saya dan isteri untuk mendidik anak memahami agama yang mereka anuti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment