Georgetown - Rahsia sebuah rumah di Jalan Semarak Api Bandar Baharu Air Itam di sini yang kerap dikunjungi orang ramai akhirnya terbongkar selepas polis berjaya menghidu kegiatan sindiket perjudian bola yang dipercayai mampu memperoleh pertaruhan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sehari.
Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota bahagian maksiat, perjudian dan kongsi gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 12.05 pagi kelmarin, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pertaruhan itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, ketika serbuan dilakukan, beberapa unit komputer yang berada dalam rumah berkenaan memaparkan laman web kegiatan pertaruhan haram selain perlawanan bola sepak piala dunia.
Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berkenaan mengambil pertaruhan dalam talian RM5,000 bagi setiap perlawanan dan pertaruhan boleh dibuat sehingga RM90,000.
“Polis merampas satu komputer riba, dua monitor, sebuah modem dan beberapa peralatan lain dipercayai untuk aktiviti perjudian.
“Lelaki berkenaan ditahan dan direman selama tiga hari sehingga esok (hari ini),” katanya.
Mior Farid berkata, kes disiasat bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.
0 comments:
Post a Comment