Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 18, 2014

8 LAGI MAYAT DITEMUI


Anggota penyelamat mengangkat mayat-mayat yang tiba di jeti.

Johor Bahru - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga semalam, berjaya menemui lapan mayat dipercayai mangsa bot karam di Tanjung Piai, dekat sini Isnin lalu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Johor Bahru (DM 6) Kapten Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat pertama ditemui di perairan Tanjung Piai berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) oleh Polis Bantuan PTP kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, sekitar jam 8 pagi, Polis Bantuan PTP sekali lagi menjumpai satu mayat lelaki tidak jauh dari lokasi mayat pertama ditemui sebelum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menjumpai satu mayat lelaki di kawasan sama pada jam 9.20 pagi.

“Dalam operasi SAR melibatkan pelbagai agensi ini di sambung semula pada pukul 7 pagi tadi (semalam) yang melibatkan aset dari Maritim, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Bantuan PTP dengan melibatkan sebuah kapal, 16 buah bot dan lebih kurang 108 pegawai dan anggota keseluruhannya,” katanya di sini semalam.

Aminuddin berkata, kira-kira jam 11.25 pagi, Polis Bantuan PTP berjaya menemui empat mayat terdiri daripada tiga lelaki dan satu wanita tidak jauh dari perairan Tanjung Pelepas.

Katanya, bot PPM kemudiannya berjaya menemui lagi satu mayat lelaki di kawasan yang sama sekitar jam 12.10 tengahari.

“Jadi kesemua mayat yang dijumpai pada hari ini (semalam) terdiri daripada tujuh lelaki dan satu wanita malah sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini mayat mangsa yang berjaya ditemui adalah 12 orang, manakala 61 orang lagi selamat.

0 comments:

share2