Bandar Baharu - Seorang warga emas cacat penglihatan terpaksa berputih mata apabila wang RM30,000 yang disimpannya di bawah katil hangus terbakar termasuk rumah pusaka didiaminya dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Kecil Hilir, di sini, kelmarin.
Mangsa, Saad Jaafar, 60-an, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, dia ke dapur untuk masak air.
Menurutnya, semasa membuka gas untuk menyalakan api, dia yang mengalami cacat penglihatan sejak lahir terhidu bau benda terbakar, namun menyangka jelaga api dari bahagian bawah cerek.
“Bagaimanapun, bau asap semakin kuat dan saya menjerit meminta tolong kerana tidak tahu arah mana perlu dituju untuk melarikan diri sebab tidak nampak. Tidak lama selepas itu, saya terdengar jiran menjerit dan cucu saudara memanggil saya dari arah hadapan.
“Saya menyahut panggilan itu dan dipapah seseorang sebelum dibawa keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Turut serta, Pegawai Khas Pejabat Adun Bandar Baharu, Saidin Yahaya dan anggota Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK).
Saad berkata, selepas dia diselamatkan jiran, dia terdengar bunyi letupan gas yang kuat dari rumahnya.
"Jiran memberitahu, dalam tempoh tidak sampai 20 minit keseluruhan rumah musnah kerana struktur rumah daripada kayu.
“Kejadian kebakaran itu menyebabkan saya tinggal sehelai sepinggang dan wang RM30,000 di bawah katil musnah terbakar. Kini saya buntu memikirkan kehidupan pada masa hadapan. Sudahlah tidak berkeluarga, kini terpaksa menumpang di rumah cucu saudara,” katanya.
Menurutnya, kejadian kebakaran itu menyebabkan rumahnya musnah sepenuhnya walaupun api dapat dikawal anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang kira-kira jam 7 pagi.
Sementara itu, Saidin ketika ditemui berkata, pihaknya sudah menyerahkan bantuan kecemasan kepada Saad untuk meringankan beban penderitaan dihadapi warga emas orang kurang upaya (OKU) itu.
Menurutnya, pihaknya turut berusaha membantu mangsa memohon bantuan membina rumah baharu daripada Baitulmal bagi memastikan mangsa mempunyai rumah.
“Kami akan berusaha membantu mangsa bagi meringankan bebannya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment