Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 9, 2014

RANG UNDANG-UNDANG LPHL TERDAPAT PINDAAN



NUSAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan terdapat pindaan fasal khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil kira tohmahan dan reaksi pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan selama ini.

"Ada fasal yang akan dipinda dengan dinyatakan secara khusus peranan raja adalah atas nasihat Menteri Besar terutama dari segi pelantikan ahli lembaga pengarah lembaga tersebut.

"Yang paling penting, lain-lain fasal ditiadakan. Hanya itu sahaja yang menyentuh peranan raja. Lain-lain semua digantikan dengan Pihak Berkuasa Negeri," katanya pada penggulungan perbahasan persidangan DUN di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata pindaan juga dibuat untuk menunjukkan kerajaan negeri berniat ikhlas terhadap penubuhan lembaga terbabit selain tidak mahu seolah-olah kuasa eksekutif diberikan kepada raja walaupun kandungan enakmen baharu yang akan diwujudkan itu sama seperti kandungan yang sudah ada dalam akta di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata amat menghairankan rang undang-undang yang akan dibentangkan itu mendapat kritikan kononnya raja akan diberi kuasa mutlak dengan raja akan mengurus perjalanan lembaga atau mempunyai kuasa eksekutif sedangkan semua peruntukan dalam rang tersebut juga adalah sama dengan rang penubuhan Johor Corporation (JCorp) sebelum ini.

Mohamed Khaled menegaskan fasal-fasal di dalam enakmen itu kelak juga tidak akan melanggar prinsip Raja Berpelembagaan kerana ia dibaca bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh raja adalah atas nasihat Menteri Besar.

"Sekiranya enakmen Johor dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, maka semua akta di peringkat persekutuan juga bertentangan.

"Jadi kita harap pindaan itu nanti tidak akan menimbulkan lagi apa-apa masalah kerana apa yang kerajaan negeri usahakan adalah demi rakyat," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini dilapor akan membentangkan rang undang-undang untuk menubuhkan lembaga berkenaan Isnin yang jika diluluskan, akan menyaksikan pembabitan sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.



1 comments:

  • Quantum Metal Consultant says:
    June 9, 2014 at 1:49 PM

    Apa yang dimaksudkan "demi rakyat" ?

    Semua yang dilakukan sejak merdeka hingga sekarang adalah "demi rakyat" dan sebablah itu pemimpin rakyat berperut buncit kerana jangan lupa p[emimpin juga rakyat kan?

share2