KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Felda United FC (FUFC) berpeluang mencipta sejarah sebagai pasukan berstatus kelab pertama merangkul Piala FA apabila bertemu Pahang pada final di Stadium Shah Alam, malam esok.
Keyakinan itu disuarakan oleh bekas pemain Selangor di era 70-an, Sufardi Rijan, 60, selepas skuad 'The Fighters' beraksi cemerlang untuk menyingkirkan juara bertahan Kelantan pada separuh akhir.
"Selepas mengatasi Kelantan yang lebih garang dalam saingan Piala FA, tidak mustahil untuk FUFC sekali lagi melakukan aksi 'pembunuh gergasi' apabila menentang Pahang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sufardi membuat telahan anak didik jurulatih Irfan Bakti Abu Salim itu berpeluang mengatasi Pahang dengan jaringan 2-1.
Sementara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, 62, yang pernah mewakili Selangor dan Malaysia pada era 70-an, berpendapat pasukan Pahang mempunyai kelebihan kerana lebih berpengalaman di pertandingan akhir Piala FA.
Katanya, perlawanan itu merupakan pengalaman baharu buat FUFC, namun tidak menafikan pasukan 'The Fighters' berpotensi menjadi pencabar kuat buat Pahang.
"Secara peribadi saya memilih Pahang untuk memenangi perlawanan itu nanti berdasarkan pengalaman mereka, jurulatih pasukan juga bukan calang-calang orang, semua kenal dan tahu siapa Zainal Abidin Hassan.
"Jadi saya jangka Pahang menang 1-0,"katanya kepada Bernama.
FUFC melakar sejarah tersendiri selepas menjadi pasukan kelab kedua selepas Sime Darby FC layak ke pentas final Piala FA pada 2012.
Pada final tersebut, Sime Darby FC kalah 1-0 kepada Kelantan.
Dalam pada itu, 'The Fighters' menggunakan peraturan kelebihan gol di tempat lawan untuk mara ke final dengan keputusan agregat 5-5 ke atas Kelantan di peringkat separuh akhir.
Pahang pula mencatatkan kemenangan agregat 2-1 ke atas finalis musim lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
0 comments:
Post a Comment