“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (Surah Ar-Rad, ayat 11)
Ramai orang Islam, termasuk orang Melayu di Malaysia sedia maklum akan ayat ini. Malah menurut cerita Tan Sri Sanusi Junid, khat ayat ini turut menghiasi pejabat Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein. Pada suatu hari delegasi Korea Selatan datang mengunjungi Tun Razak. Pada masa itu taraf ekonomi Korea Selatan, termasuk pasukan bola sepaknya jauh tercicir berbanding Malaysia.
Ketika delegasi Korea Selatan hendak meninggalkan pejabat, menurut Sanusi lagi, ketua delegasi bertanya tentang maksud khat tersebut kepada Tun Razak. Apabila Tun Razak menerangkan maksudnya, penerangan itu menguja mereka.
Dalam banyak acara, Sanusi mengulang cerita ini berkali-kali. Beliau malah membuat kesimpulan bahawa maksud ayat tersebut secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada kebangkitan Korea Selatan dalam pelbagai bidang. Kini bukan sahaja ekonomi Korea Selatan melonjak begitu mendadak, malah pasukan bola sepaknya sudah bertaraf dunia.
Secara mudah, jika orang Melayu mentafsir ayat tersebut, ia bermaksud juga bahawa nasib bangsa Melayu ditentukan oleh bangsa Melayu sendiri. Janganlah kita menyangka dan berharap, ada orang lain yang akan bertungkus lumus untuk memajukan orang Melayu. Orang Melayulah yang wajib memajukan bangsanya bermula daripada diri, keluarga dan anggota masyarakat.
Pertikai perjuangan bangsa sendiri
Dalam suasana kesedaran seperti itu, tentu janggal apabila ada orang Melayu meremehkan perjuangan kepentingan Melayu. Dalam Facebooknya baru-baru ini, pelakon Datuk A Tamimi Serigar meluahkan rasa marahnya apabila seorang DJ Melayu di sebuah stesen radio swasta membelasah PERKASA yang memberikan komen negatif terhadap perjuangan Dong Jiao Zong.
PERKASA atau Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum 2008, diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali, serta digerakkan bersama-sama sekumpulan pemikir dan aktivis Melayu demi kepentingan Melayu dalam pelbagai bidang. Pertubuhan Dong Jiao Zong pula adalah sebuah NGO yang memperjuangkan pendidikan serta bahasa Cina di negara ini.
Lindungi jati diri
Allan Collins dalam Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu, menyebut: “Dong Jiao Zong menekankan bahawa bahasa Cina adalah lambang jati diri orang Cina, maka perlu dilindungi. Peranan sekolah dalam mempertahankan jati diri tidak boleh dipandang ringan.
“Sebagai pendatang asing ke negara ini, kebanyakan orang Cina di Malaysia khuatir anak mereka lupa warisan linguistik dan budaya mereka. Oleh sebab itu, penubuhan sekolah Cina didorong keinginan untuk memastikan anak mereka mengekalkan jati diri Cina.”
Tulisan Collins itu dengan sendirinya menjelaskan lagi bahawa nasib bangsa Cina ditentukan oleh bangsa Cina sendiri. Pernyataan ini bagaimanapun tidaklah menafikan bahawa menurut tadbir urus politik nasional, terdapat program rasmi bagi pembangunan yang merentas kaum, gender, kepercayaan dan sebagainya.
Bagaimanapun, sesuatu bangsa tidak boleh hanya bergantung pada program nasional yang rasmi, bagi memajukan bangsa atau kaum masing-masing. Kebergantungan kepada program nasional yang rasmi sahaja sangat terikat dengan pelbagai prosedur serta proses yang mungkin melambatkan sesuatu pencapaian.
Oleh itu, berbekalkan peluang yang terbuka di negara ini, sesuai dengan sistem demokrasi, setiap bangsa termasuk Melayu harus berjuang memajukan diri, keluarga dan bangsanya.
Kalau ada Dong Jiao Zong yang taksub dengan perjuangan jati diri Cina di Malaysia, tidak salah kalau ada NGO Melayu yang perjuangannya taksub kepada pembinaan jati diri Melayu asalkan perjuangan itu ‘bersilat’ dalam sudut gelanggang Perlembagaan Persekutuan.
Akan tetapi ketika pihak lain sibuk dengan agenda membina jati diri, ada orang Melayu yang lebur jati diri tidak memihak pada perjuangan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan. Kita dapat memahami punca kenapa Tamimi meluat kepada DJ Melayu yang hilang idealismenya sebagai seorang Melayu.
0 comments:
Post a Comment