Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 6, 2014

LELAKI HUMBAN BAYI DALAM GAUNG



SHAH ALAM – Seorang lelaki bertindak kejam menghumban bayi berusia enam bulan, anak kepada seorang pekerjanya ke dalam gaung di kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands.

Mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik dan disumbat ke dalam beg pakaian, sebelum dihumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 70 meter itu oleh suspek yang difahamkan bimbang bayi hasil hubungan sulit pekerjanya itu diketahui orang lain.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu yang merupakan seorang ejen pembantu rumah terbongkar setelah ibu bayi berkenaan yang berusia 33 tahun membuat laporan di Balai Polis Kota Kemuning.

Menurut sumber, penemuan mayat bayi kira-kira jam 11 pagi itu selepas seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sebagai suspek, ditangkap.

Kata sumber tersebut, lelaki itu mendakwa, bayi berkenaan dipercayai anak kepada salah seorang pembantu rumahnya dan berdasarkan keterangan suspek, bayi itu mati di sebuah asrama pekerjanya di Kota Kemuning, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan pembantu rumah berkenaan dipercayai mengandung akibat dirogol oleh salah seorang bekas majikannya tahun lalu.

“Suspek bersama isterinya lari sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel di Cheras selepas kejadian itu.

Suspek bersama isterinya kemudian berjaya ditahan, di sini, kelmarin.

"Suspek direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan," kata sumber.

Sementara itu, pasukan forensik terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat bayi tersebut ekoran kedudukan lokasi gaung yang curam dan cuaca lembab. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, difahamkan pembantu rumah berkenaan ketika disoal siasat mendakwa dia dan rakan-rakannya dipaksa bekerja tanpa permit dan tidak pernah dibayar gaji.

“Bertindak atas maklumat, Isnin lalu pasukan polis berjaya menyelamatkan enam pekerja asing. Ejen itu juga dipercayai menawarkan perkhidmatan pembantu rumah jangka pendek.

“Pekerjanya juga dipercayai telah dieksploitasi secara seksual oleh majikan dan ejen itu. Siasatan awal mendapati tiga rumah yang dipercayai digunakan untuk mengurung semua pekerja itu,” kata sumber itu lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



0 comments:

share2