Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 29, 2014

KENAPA BERJIHAD SAMPAI KE SYRIA?


Khalid melihat senjata yang dipamerkan ketika majlis penganugerahan Beret 69 Komando dan sayap kehormat di Trong, semalam.
Khalid melihat senjata yang dipamerkan ketika majlis penganugerahan Beret 69 Komando dan sayap kehormat di Trong, semalam.

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertikaikan keperluan sesetengah rakyat Malaysia untuk pergi berjihad ke negara-negara bergolak seperti di Syria dan Iraq serta beberapa negara lain.

Menurutnya, rakyat negara ini boleh berjihad dengan menyumbang sesuatu demi memartabatkan Islam dan negara ini.

“Siapa suruh mereka pergi. Apakah keperluan mereka untuk ke sana?,” itulah reaksi Khalid apabila ditanya media mengenai dakwaan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di Syria.

Menurutnya, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan kononnya ada rakyat Malaysia terlibat dalam aktiviti militan.

Kelmarin, beberapa media mendedahkan sekumpulan rakyat Malaysia yang didakwa menyertai perang saudara di Syria bersama Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang dipaparkan dalam laman YouTube.

Dalam sidang media 18 Jun lalu, seorang pegawai Syria yang berpusat di New York mendakwa beberapa rakyat negara Asean termasuk Malaysia terlibat dalam aktiviti militan di negara tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dengan bertukar maklumat mengenai apa yang berlaku di Syria,” katanya dalam majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini, semalam.

Terdahulu di TRONG, PERAK, Khalid mengesahkan pihak polis ketika ini sedang memburu saki baki kumpulan militan yang terbabit dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, hasil penahanan enam individu termasuk seorang wanita, Rabu lalu.

Menurutnya, tangkapan terbaharu melibatkan enam lelaki yang dipercayai ahli kumpulan militan di Kunak, Sabah.

Beliau berkata, setakat ini disahkan hanya enam suspek militan diberkas dan polis percaya masih ada ahli kumpulan militan yang bersembunyi.

“Ketika ini usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan dan memberkas mereka ini dan saya yakin mereka tidak boleh lari ke mana-mana, hanya tunggu masa sahaja untuk diberkas,” katanya pada sidang media ketika Majlis Penganugerahan Beret 69 Komando dan Sayap Kehormat di Kawasan Latihan Luar 69 Komando, Ladang Allagar Sungai Nyior, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid; Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Komander 69 Komando, Datuk Azizan Abd Aziz.

Seramai 67 pegawai dan anggota berjaya menamatkan Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2011 dan Siri 1/2014 itu.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan daerah Kunak dikenakan perintah berkurung ekoran penahanan tersebut, Khalid menafikan perkara tersebut.

“Tidak ada, mana ada perintah berkurung dan itu hanyalah khabar angin dan tidak benar,” katanya.

0 comments:

share2