Sudah lebih setahun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlalu, tetapi ruang hidup kita masih sesak dengan pelbagai perkara membabitkan politik. Bukan di Malaysia saja, malah di negara jiran juga pesta demokrasi sedang rancak, sama ada di Indonesia atau Thailand.
Hampir sebahagian besar rakyat bercakap soal politik, sama ada secara formal atau tidak formal, baik di media cetak atau elektronik, di dunia nyata atau dunia maya. Secara umumnya, seolah-olah tidak ada apa dapat membatasi semua insan daripada berpolitik.
Di negara kita, pilihan raya kecil (PRK) silih berganti daripada Kuala Besut di Terengganu, Sungai Limau di Kedah, Kajang di Selangor, Balingian di Sarawak, hari ini di Bukit Gelugur, Pulau Pinang dan pada hujung bulan ini di Teluk Intan, Perak.
Tidak cukup dengan itu, politik kita kini juga diwarnai proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang panas dan kecoh sehingga bergaduh serta ada pemilihan di beberapa cabang diisytiharkan tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula.
Jadi tidak benar kata orang bahawa rakyat kita muak dengan politik, orang muda tidak mempedulikan politik dan politik itu membosankan.
Jika tidak, kenapa masih ramai lagi yang keluar mengundi dan masih ramai lagi yang menawar diri menjadi calon?
Jika tidak percaya, tanya dua calon Bebas di PRK Parlimen Bukit Gelugor, Abu Bakar Sidek Mohd Zan dan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sattar atau calon muda yang mewakili DAP di PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.
Daripada ramai calon yang bertanding dalam enam PRK sejak pilihan raya umum lalu, saya lebih tertarik dengan Abu Bakar Sidek kerana pelbagai reaksinya sejak hari penamaan calon lagi. Calon Bebas ini sempat merajuk kerana kempennya tidak mendapat perhatian media.
Selepas menangis di depan kamera kerana kecewa dengan pihak media, Isnin lalu dia sekali lagi buat kecoh apabila bertindak nekad meluru ke arah kereta dinaiki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang enggan berhenti, menyebabkan dia terjatuh di atas jalan.
Kita tidak pasti kenapa Abu Bakar Sidek begitu ghairah berpolitik sehingga sanggup membahayakan diri. Apapun, usahanya ternyata berhasil apabila kebanyakan media, termasuk akhbar arus perdana, menyiarkan berita mengenai tindakannya.
Berbeza dengan Abu Bakar Sidek, Dyana Sofya sejak awal-awal lagi mendapat perhatian media dan orang ramai. Kita tidak pasti yang mana satu tarikannya, apakah pada rupanya yang cantik, usianya yang masih muda atau kelebihan lain yang ada pada dirinya?
Namun bagi saya, Dyana Sofya tiada yang aneh, sebaliknya biasa saja. Berdasarkan penampilannya setakat ini, sama ada ketika berkempen, bertemu pengundi atau ketika berdepan wartawan, dia masih belum bersedia dan gagal meyakinkan saya.
Sebenarnya, politik memang luar biasa sehingga ada orang jadi gila kerananya. Orang yang bercita-cita besar sanggup melakukan apa saja untuk memastikan cita-citanya tercapai. Begitu juga orang yang mahu jadi pemimpin sanggup berbuat apa saja asal dia terpilih.
Politik memang gila dan boleh membuatkan orang jadi gila. Contohnya di Indonesia, beberapa calon yang gagal dalam pilihan raya umum republik itu pada 9 April lalu, dipercayai jadi kurang siuman kerana tekanan disebabkan kalah dan menanggung hutang yang banyak.
Dalam satu kejadian di Tulungagung, Jawa Timur, seorang calon yang kalah menuntut kembali bantuan diberi untuk membina surau di sebuah kampung apabila mendapati dia hanya memperoleh 29 undi, jumlah yang terlalu kecil berbanding yang dijangkakan sebelumnya.
Oleh itu awas, jangan terlalu taksub mahu jadi pemimpin atau wakil rakyat. Walaupun ada orang percaya khidmat yang terbaik kepada rakyat adalah menjadi wakil mereka, bagi saya ada banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk membantu masyarakat selain melalui politik.
0 comments:
Post a Comment