Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 7, 2014

CADBURY: ISU SUPER SENSITIF



Akhir minggu lalu umat Islam di negara ini digemparkan dengan berita coklat berjenama terkemuka mempunyai kandungan babi dikenali sebagai ‘porcine’.

Dua produk syarikat Cadbury iaitu, coklat dengan badam dan kacang hazel produk terkenal dan digemari penggemar coklat pelbagai peringkat umur. 

Pergilah ke mana saja, sama ada pasar raya, pasar mini, stesen minyak dan sebagainya, coklat itu pasti ada dijual dan mudah didapati. Ditambah pula harganya berpatutan, ia menjadi kudapan pilihan ramai. 

Berita menggemparkan itu dari sudut lainnya jika dilihat, pastinya mengguris hati umat Islam di negara ini. Bayangkan selama belasan atau puluhan tahun coklat itu dimakan segenap lapisan masyarakat, baru sekarang kita tahu apa yang kita makan rupa-rupanya tidak halal.

Justeru, ia menarik beberapa persoalan serius bermain di fikiran umat Islam me-ngenai ‘standard’ penguatkuasaan produk halal di negara ini. Jika produk makanan yang disahkan ‘halal’ oleh pihak berkenaan boleh tercemar, apa lagi yang kita boleh harapkan.

Ia juga tamparan besar kepada negara kita yang menjadi negara contoh dan hab makanan halal seantero dunia. 

Sewajarnya kita sebagai umat Islam, perlu menjadi ‘super sensitif’ dan memandang perkara itusebagai serius kerana berkaitan dengan apa yang bakal menjadi darah daging kita. 

Rasulullah di dalam sebuah hadis telah bersabda yang bermaksud: “Setiap daging badan-nya yang tumbuh daripada benda haram (yang menghilangkan berkat), maka nerakalah lebih utama bagi orang itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi). 

Selain difahami secara terus mengenai maksud hadis ini, ia perlu difahami daripada maksud yang tersirat. Perkara ini diperjelaskan dengan satu lagi hadis: “Ketahuilah dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, jika baik ia, maka baiklah seluruh jasad itu. Jika buruk ia, maka buruklah seluruh jasad itu. Ia adalah hati.” 

Makanan dan minuman haram akan menjadi sebahagian daripada tubuh manusia termasuk hati. Apabila badan bersumberkan daripada yang haram, ia mempengaruhi peribadi dan keimanan seseorang. 

Ketika isu ini masih segar dan menimbulkan perasaan marah umat Islam, tidak dinafikan ba-nyak pihak tampil untuk mencari publisiti kononnya untuk membela umat Islam berkenaan hal ini. 

Namun, apa dikesalkan, kemunculan pihak cetek agama yang tampil dengan ‘fatwa’ pelik dan menjengkelkan, sekali gus menjadikan Islam sebagai bahan jenaka bagi orang bukan Islam. 

Antara ‘fatwa’ itu ialah tuntutan pampasan bagi menggantikan darah dalam tubuh umat Islam di negara ini yang dikatakan telah tercemar akibat pengambilan 
coklat berkenaan. 

Apabila dilaporkan, ia menarik perhatian orang bukan Islam termasuk golongan murtad. Ia menjadi senjata bagi mereka mentertawakan Islam dengan dakwaan betapa kolot dan susahnya agama Islam itu sendiri. 

Apabila jahil mengenai sesuatu hukum, tahanlah diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh memalukan umat Islam. Islam itu mudah dan janganlah cuba menjadikannya nampak susah. 

Nota: Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengesahkan hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ‘halal dimakan’, kata Pengerusinya Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin. 

Menurutnya, ia termasuk dalam kategori keadaan ‘Umum al-Balwa’, iaitu keadaan musibah atau kesukaran berleluasa dan sukar dielak. Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai halal tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu saja), maka dalam keadaan ini, muzakarah telah memutuskan bahawa ia dikategorikan sebagai ‘Umum al-Balwa’. 

“Hukum produk itu merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.



1 comments:

  • Anonymous says:
    June 7, 2014 at 12:32 PM

    Umum Balwa atau Istihala ?

share2