Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 4, 2014

BUDAK DAHAGA OKSIGEN



Kuala Lumpur: “Hanya tuhan yang tahu perasaan saya apabila muka anak bertukar biru setiap kali menangis kerana tidak cukup oksigen,” kata Wu Chee Lei yang memerlukan wang RM53,000 bagi membiayai kos pembedahan anak lelakinya, Nathan Kheng Ming Cheng, 11 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Lebih malang apabila saluran oksigen bayi itu tersumbat sejak lahir sehingga menyebabkannya mudah penat dan mukanya bertukar biru.

“Sebaik saja Nathan dilahirkan, doktor memaklumkan keadaan anak saya berlainan dengan bayi lain dan terpaksa dibedah secepat mungkin bagi memudahkan pernafasannya.

“Sehingga kini, saya terpaksa tangguh tarikh pembedahannya kerana tidak mampu menanggung perbelanjaannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleeneagles, di sini, semalam.

Wu yang berkahwin dengan warga Indonesia hanya memperoleh RM2,200 sebulan daripada pekerjaannya sebagai eksekutif jualan di syarikat swasta di Johor, namun perbelanjaan keseluruhannya melebihi gaji.

“Saya juga terpaksa mengeluarkan semua simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memenuhi perbelanjaan perubatan anak.

“Kini saya buntu untuk melihat anak kembali sihat seperti bayi lain kerana saya sudah tiada sumber kewangan lain,” katanya.

Katanya, Nathan juga mengalami masalah tulang lemah berikutan oksigen tidak dapat disalurkan dengan sempurna ke paru-parunya.

“Saya sanggup gantikan tempat anak saya, asalkan dia dapat bergerak cergas dan sihat.

“Saya merayu jika ada pihak sudi memberi sedikit bantuan supaya anak tidak perlu lagi menderita,” katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek kepada Unit Kebajikan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Bahagian Kewangan, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama Nathan Kheng Ming Cheng di belakang cek atas nama Hospital Gleeneagles.



0 comments:

share2