KUANTAN – Hampir dua tahun penduduk Taman Fairmount, dekat sini dibelenggu masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat menyebabkan kawasan perumahan mereka kerap dinaiki air.
Wakil penduduk, Chia Tam Lim, 77 berkata, kejadian terbaru, kawasan perumahan mereka dinaiki air sehingga paras lutut tiga hari lalu walaupun hujan lebat hanya beberapa jam sahaja.
Bagaimanapun menurutnya, dia sekeluarga bernasib baik kerana kediamannya tidak dinaiki air berbanding rumah penduduk yang lain.
“Rumah kami terselamat daripada dinaiki air susulan hujan lebat tiga hari lalu, namun ada dalam kalangan penduduk lain terpaksa menanggung pelbagai masalah kerana rumah dinaiki air.
“Justeru, kami meminta pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap masalah yang membelenggu kami ini dan mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah sama berulang kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Tam Lim turut menjelaskan bahawa kediamannya dinaiki air susulan banjir teruk pada musim tengkujuh tahun lalu namun sehingga kini, dia masih tidak mendapat bantuan walaupun telah membuat permohonan.
Sementara itu, Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, difahamkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik menyebabkan kawasan ini kerap berlaku banjir kilat.
“Sebagai langkah awal, penduduk diminta mengisi borang bagi menyatakan masalah yang mereka hadapi dan ia akan dipanjangkan kepada pihak berkaitan.
“Masalah ini perlu diselesaikan segera kerana kita bimbang keadaan bertambah buruk,” katanya.
0 comments:
Post a Comment