Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 11, 2014

UMNO PERLU TEGAS PERTAHAN PRINSIP




Kuala Lumpur - Umno perlu terus cekal dan tegas mempertahankan prinsip dan nilai kesederhanaan yang menjadi teras perjuangannya bagi mengimbangi tuntutan politik zaman ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Umno itu berkata Umno tidak boleh terperangkap dalam permainan politik ekstrem perkauman, agama dan hak asasi manusia semata-mata untuk menjadi juara kaum, agama atau kelompok tertentu.

Ini kerana tanggungjawab politik Umno yang paling besar adalah untuk mengekalkan keseimbangan politik yang menjadi asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Malaysia, katanya.

"Dalam mengharungi cabaran perubahan zaman masa kini, Umno sedang berhadapan dengan desakan-desakan yang jika tidak ditangani dengan penuh hikmah akan menjejaskan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

"Masa depan negara kita sebenarnya bergantung kepada sejauh mana hikmah politik UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional, parti yang diberi mandatuntuk menerajui negara, dapat mengimbangi dan mengekalkan kestabilan, keamanandan keharmonian negara kita," kata Muhyiddin dalam perutusannya sempena hari ulang tahun Umno ke-68, yang akan diraikan hari ini.

Muhyiddin berkata arus perubahan zaman yang kian mencabar dan peralihan generasi telah membawa kepada perubahan yang ditandai dengan kemunculan pemikiran dan nilai politik baharu.

Soal kebebasan, kesamarataan dan hak asasi manusia telah menjadi fokus utama perdebatan dalam ruang politik di negara ini serta semakin mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat sehingga ia menjadi kayu pengukur kepada ketepatan sesuatu keputusan dan tindakan politik, kata Muhyiddin.

"Dalam menghadapi arus perubahan zaman kini, Umno tidak seharusnya mudah hilang kompas perjuangan. Umno harus sedar bahawa nilai-nilai baharu ini juga mempunyai kecenderungan untuk membawa masyarakat kita ke arah dua haluan politik yang berbeza," katanya.

Menurut Muhyiddin ada golongan yang mahukan kebebasan dan kesamarataan yang ekstrem sehingga melupakan nilai-nilai agama, budaya dan tradisi serta semangat saling hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi paksi kehidupan masyarakat majmuk di negara ini selama ini.

Kelompok itu kadangkala mengambil tindakan yang agak ekstrem dalam mengemukakan desakan-desakan mereka sehingga menyebabkan wujudnya ketegangan dalam masyarakat majmuk kita, katanya.

Di satu pihak lagi, ada juga golongan yang menolak sekeras-kerasnya nilai-nilai baharu ini dan menganggap ia sebagai ancaman besar terhadap kelangsungan tradisi agama dan budaya masing-masing dan golongan itu juga berpotensi untuk mengambil tindakan yang ekstrem demi mempertahankan nilai dan kepercayaan mereka, kata Muhyiddin.

Beliau berkata menggalas amanah perjuangan menegakkan agama, bangsa dannegara di samping mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia dalam persekitaran politik masa kini yang semakin mencabar adalah satu ujian besar bagi Umno.

Katanya amanah itu bukan sesuatu yang mudah untuk digendong, malah menuntut suatu kebijaksanaan baharu dalam kalangan pimpinan dan anggota parti.

Justeru, sempena sambutan ulang tahun parti itu esok, Muhyiddin menyeru seluruh masyarakat, khususnya anggota parti untuk bersama-sama berdoa semoga Umno sentiasa cekal mengharungi cabaran zaman, tegas mempertahankan prinsip perjuangan dan kekal sebagai sebuah parti yang kuat, berprinsip dan bermaruah.

0 comments:

share2