Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 29, 2014

SEMPAT MINTA MAAF DENGAN ISTERI, IBU




Pasir Puteh - Beberapa jam sebelum terbunuh, anggota tentera, Lans Koperal Muhamad Fiffieixezapey Mat Hussin, 28, sempat menghubungi isterinya di sini, meminta maaf atas kesilapan yang mungkin melukakan hati isterinya.

Norhidayah Hasbullah, 27, berkata, suaminya itu menghubunginya jam 10 malam kelmarin dan mereka berbual lebih 10 minit.

“Dia tak macam biasa malam tadi (malam kelmarin), dia asyik meminta maaf atas segala kesalahan dan berharap saya tidak kecewa kerana dia tidak mampu memberikan kekayaan. Saya hairan kerana dia tidak pernah berbual demikian sebelum ini. Saya katakan kepada dia bahawa saya tidak mengharapkan kemewahan hidup.

“Dia berharap benar supaya saudaranya membuat telegram di kem tentera bagi membolehkan dia balik kampung kerana dia risau keadaan saya yang mengandung anak pertama sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Guchil, Sungai Petai di sini, semalam.

Norhidayah turut memberitahu suaminya itu dia sihat dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan, namun suaminya tetap berhasrat untuk balik ke Kelantan walaupun baharu sebulan berada di Sabah.

Norhidayah yang berasal dari Kampung Chat, Meranti, Pasir Mas, berkata, suaminya beria-ia untuk pulang, mungkin kerana mahu meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada Sabtu ini.

“Saya terfikir untuk meraikan ulang tahun perkahwinan bersama tapi saya tidak menyuarakannya kerana saya mahu dia komited dengan tugasan.

“Dia sepatutnya ke Dubai tapi dia meminta untuk berkhidmat dalam negara memandangkan saya menghadapi masalah dengan kandungan, akhirnya dia ditugaskan ke Lahad Datu selama tiga bulan,” katanya yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing, Johor.

Menurutnya, suaminya pernah ditugaskan ke Sabah sebelum ini tapi menolaknya atas beberapa faktor tetapi kali ini, dia tidak boleh menolak kerana tiada orang boleh menggantikan tempatnya.

Sementara itu, ibu Muhamad Fiffeixezapey, Norma Mohamad, 50, ketika ditemui berkata, dia menghubungi anaknya itu tiga hari lalu untuk bertanya khabar.

Katanya, ketika itu, anak kedua daripada lima beradik itu banyak menasihatinya supaya mengambil ubat mengikut jadual kerana dia menghidap pelbagai penyakit.

“Dia juga meminta maaf sekiranya ada terkasar bahasa terhadap saya," katanya.

Menurut Norma, dia menerima ketentuan ALLAH itu walaupun sedih dengan kehilangan arwah selepas kematian suami, Allahyarham Mat Hussin Mat Hassan, 10 tahun lalu.

0 comments:

share2