Maran - Polis telah mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang ditemui tersangkut berdekatan sangkar ikan di Sungai Pahang di Kampung Mentenang kira-kira jam 8.50 pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mayat berpakaian lengkap itu dikenali sebagai Fatimah Budin, 73, yang tinggal di Kampung Pesagi, Chenor.
Menurutnya, mangsa yang pernah berkahwin namun tidak mempunyai anak itu difahamkan tinggal sendirian dan sering mandi di Sungai Pahang berdekatan rumahnya.
“Mangsa berkemungkinan terjatuh ketika mandi dan lemas sebelum dihanyutkan hampir 30 kilometer sebelum dijumpai orang awam di sangkar ikan tersebut.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasatan dan tiada sebarang punca kematian dapat ditentukan kerana keadaan mayat tidak mengizinkan.
“Mengikut kebiasaan kejadian lemas yang berlaku di Sungai Pahang, mayat yang hanyut akan ditemui terapung selepas tiga hari.
"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai dan lemas di antara tempoh berkenaan,” katanya.
Sulaiman berkata, anak saudara mangsa yang tinggal berdekatan hanya menyedari kehilangan warga emas itu pada hari mayat tersebut dijumpai sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, jenazah dituntut ahli keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pesagi.
0 comments:
Post a Comment