Bentong - Satu mayat tanpa kepala dan sebahagian badan reput serta hanya tinggal kaki ditemui dalam sungai di Kilometer 21.5, Jalan Karak-Manchis, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mayat itu ditemui kira-kira 5 kilometer dari air terjun tempat seorang remaja lelaki, Sean Ng, 15, dikhuatiri lemas sembilan hari lalu.
Menurutnya, sekitar jam 6.10 petang kelmarin, orang awam telah menahan anggota polis yang baru pulang dari operasi mengesan mangsa memberitahu mereka terhidu bau busuk dari dalam sungai kawasan terbabit.
“Anggota kita terus menuju ke tempat di mana bau busuk terbabit datang dan menemui mayat tersangkut pada kayu dalam sungai tersebut.
“Mereka mendapati sebahagian tubuh mayat terbabit tidak berkepala dan hanya kelihatan kaki selain sebahagian tubuh mayat itu reput,” katanya.
Tambahnya, mayat tersebut ditemui selepas hujan lebat dan kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan mayat itu adalah Sean Ng yang hilang dikhuatiri lemas ketika mandi di air terjun Sungai Gapoi berdekatan lokasi mayat terbabit ditemui.
“Dipercayai bahawa mayat terbabit merupakan mangsa yang hilang sembilan hari lalu namun siasatan untuk menentukan identiti mayat akan diteruskan,” katanya.
Sean Ng, yang berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di air terjun Sungai Gapoi, di sini sekitar jam 3 petang 2 Mei lalu.
Mangsa datang ke air terjun itu bersama 11 lagi rakannya di mana pada pukul 3 petang hari terbabit mangsa masuk ke dalam air bersama kumpulan pertama seramai lapan orang dan hilang sehingga kini.
0 comments:
Post a Comment