Sungai Petani - Helah licik seorang pemandu treler yang membuat laporan polis mengenai kehilangan kenderaan itu akhirnya terbongkar apabila dia turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian terbabit.
Treler yang penuh muatan baja keseluruhannya bernilai RM200,000 diletakkan pada jam 6 petang berhampiran kawasan luar kilang pengeluar baja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Gurun dalam kejadian 23 Mei lalu.
Muatan sebanyak 22 tan baja urea dan 20 tan baja NPK dalam lori treler terbabit sepatutnya dihantar ke projek Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Jerlun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, satu laporan polis dibuat oleh pemandu pada 9.20 pagi kelmarin yang menyedari kehilangan kenderaan itu sebaik sahaja ke lokasi keesokan hari.
Menurutnya, hasil siasatan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, lori berkenaan dikesan berada di kawasan Sungai Limau, Yan jam 8 malam hari yang sama.
“Siasatan lanjut pada jam 1.15 pagi (semalam), menemui kesemua muatan baja yang dipercayai telah dijual kepada pihak ketiga disimpan dalam sebuah gudang beras kira-kira lima kilometer dari penemuan treler,” katanya.
Pemandu treler yang membuat laporan polis dan seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan.
Polis juga menahan seorang lelaki yang dipercayai pemilik gudang yang membeli kesemua baja itu.
Semua tiga suspek berusia 31 hingga 38 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga 27 Mei untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Ahmad berkata, ini merupakan kejadian pertama di Kedah melibatkan kehilangan treler berserta muatan dan berjaya selesaikan dalam tempoh 48 jam.
0 comments:
Post a Comment