Kuantan – Penderitaan bapa kepada dua anak, Zulkifli Mohd Ali, 36 yang menghidap kanser lidah sejak lima bulan lalu dan kepayahan isterinya, Rosnany Ismail, 32 menggalas tanggungjawab menjaga keluarga mendapat perhatian kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan dan akan menghulurkan bantuan mengikut keperluan.
“Kerajaan negeri akan terus beri perhatian terhadap kes–kes sebegini dan akan memantau keadaan keluarga Zulkifli serta menghulurkan bantuan berterusan.
“Sekarang, isterinya perlu menggalas tugas mencari rezeki dengan bekerja sebagai kerani di syarikat swasta,” katanya ketika lawatan ke rumah keluarga berkenaan, di Bukit Bay Route, Bukit Setongkol, di sini, semalam.
Sementara itu, Rosnany berkata, apabila disahkan menghidap kanser keadaan kesihatan suaminya semakin teruk dan tidak boleh keluar mencari nafkah.
“Pada awalnya suami saya mencabut gigi tetapi difahamkan masih terdapat tunggul gigi yang tidak tercabut menyebabkan ia bergesel dengan lidah.
“Pembedahan tidak dapat dilakukan kerana ia sudah semakin teruk dan suami saya sekarang hanya terlantar di rumah.
Katanya, jika dahulu suami bekerja sebagai pemandu lori tetapi sekarang hanya dia yang mampu bekerja dengan pendapatan sebanyak RM1,400 sebulan.
“Rumah kami sekarang disewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM400 dan semua keperluan lain saya tanggung.
“Seorang anak berusia 8 tahun sudah bersekolah, manakala seorang lagi yang berusia 5 tahun tidak dapat di hantar ke sekolah lagi memandangkan perlu menjaga bapanya ketika saya keluar bekerja,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana masalah keluarganya mendapat perhatian kerajaan dan terasa beban ditanggung berkurangan.
“Besar harapan saya untuk melihat suami pulih seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan seharian dengan baik.
“Walaupun berat apa yang ditanggung sekarang, saya akan terus bersabar demi anak-anak dan suami,” katanya.
0 comments:
Post a Comment