Kuantan – Satu perhimpunan membantah dan mengecam tindakan kerajaan Mesir yang menjatuhkan hukuman mati kepada 529 ahli Ikhwan Al-Muslimin diadakan di perkarangan Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Cawangan Kuantan, di sini, kelmarin.
Gerakan kecam dan bantah berkenaan dianjurkan mahasiswa UIA Kuantan dengan kerjasama beberapa lagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan isu penting itu.
Pengerusi himpunan berkenaan, Mohd Amin Marwan berkata, isu berkenaan seolah-olah kurang mendapat perhatian sedangkan ia sewajarnya dikecam oleh seluruh masyarakat Islam.
Bagaimanapun, menurutnya, perhimpunan berkenaan berjaya menarik lebih 500 mahasiswa yang menyuarakan bantahan mereka.
“Kami berhimpun untuk mengecam tindakan yang dirasakan tidak adil dan perkara ini harus terus disebarkan.
“Mahasiswa dan masyarakat harus berganding-bahu menunjukkan bantahan supaya suara kecaman ini diberi perhatian.
“Bukan sekadar berhimpun tetapi mesej yang ingin disampaikan diharapkan dapat mewujudkan kesedaran kepada orang ramai dan kita perlu berani bersuara untuk menentang,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, jika isu lain mendapat perhatian dan publisiti meluas, kejadian seperti ini juga harus diberi tumpuan.
“Seperti kita lihat, isu kehilangan MH370 meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa serta sentiasa diberi perhatian.
“Isu ini bukan perkara biasa dan seharusnya turut diberi perhatian serta penekanan oleh semua pihak termasuk media massa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment