Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 7, 2014

PEMANDU TRELER MAUT TERSEPIT



Kuala Terengganu - Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya maut selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh sebuah lori yang membawa muatan makanan ayam di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Tepoh semalam.

Kejadian pada kira-kira 1 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohamad Rosli Othman, 44, yang memandu treler membawa kabel elektrik, dalam perjalanan dari arah LPT ke pusat bandar.

Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, treler yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori terbabit.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit terpaksa dikeluarkan dengan bantuan jengkaut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, rakan mangsa yang merupakan kelindan lori berkenaan berusia lingkungan 30-an, cedera parah dan dikejar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala pemandu lori berusia 40-an terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota Azmi Salleh berkata sejurus menerima panggilan pada kira-kira 1.03 petang, pihaknya tiba di lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota.

Beliau berkata pasukannya dibantu empat anggota bomba sukarela dari Kuala Nerus.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, Azmi berkata pihaknya berdepan kesukaran mengeluarkan Mohamad Rosli dan terpaksa meminta bantuan jengkaut dari kuari berhampiran dan mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa selepas mengalih kabel elektrik serta mengopak kepala treler berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Superintendan Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian dan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat. 

0 comments:

share2