Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 25, 2014

INTERNET: MALAYSIA DUDUK RANGKING PERTAMA

Kuala Lumpur - Malaysia kini berada di ranking pertama dalam capaian Internet mampu milik dalam kalangan ekonomi negara membangun dunia, persidangan Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pengiktirafan itu dikeluarkan dalam laporan oleh A For A One, iaitu Alliance forAffordable Internet bertarikh 8 November tahun lepas.

"Pencapaian dan pengiktirafan ini tercapai hasil usaha berterusan kerajaan menambah baik liputan dan capaian Internet menerusi pelbagai program yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk meningkatkan capaian Internet di negara ini diteruskan apabila perdana menteri mengumumkan pelbagai program tahun ini melibatkan peruntukan hampir RM5.8 bilion.

Beliau berkata dalam pelaksanaan projek tambahan itu nanti, spesifikasi liputan dan capaian Internet akan ditambah mengikut kesesuaian dan keperluan teknologi.

Dalam perkembangan lain, Jailani mengakui kesukaran yang dihadapi kementerian untuk mengesan pemilik akaun sosial palsu yang diguna untuk membuat pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap individu lain.

Bagaimanapun katanya individu yang dikesan berbuat demikian akan berdepan tindakan tegas dari segi undang-undang. 

Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah terutama mereka yang menggunakan akaun palsu atau menyamar menggunakan nama individu lain untuk memburukkan orang lain yang semakin berleluasa sekarang, katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang ingin tahu tindakan kementerian terhadap pemilik akaun media sosial palsu yang aktif menyebar fitnah dan pelbagai lagi terhadap pihak lain.

Sementara itu beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman sesawang yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pelbagai undang-undang lain.

Jailani berkata, kerajaan turut melancarkan kempen 'Klik dengan Bijak' bagi mendidik dan memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat supaya lebih bertanggungjawab, beretika dan mengutamakan keselamatan ketika melayari Internet.

Kepada soalan asal Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang ingin tahu usaha komprehensif kementerian untuk mempertingkat kelajuan Internet, beliau berkata kerajaan melalui SKMM sentiasa berusaha menambah baik prasarana komunikasi dari semasa ke semasa.

Beliau berkata kementerian telah merangka Pelan Jalur Lebar Kebangsaan 2010 yang merupakan pelan komprehensif bertujuan meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar.

"Melalui pelan itu, SKMM berjaya melonjakkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 67.3 peratus berbanding 55.6 peratus pada 2010," katanya.

0 comments:

share2