Putrajaya - Polis menyiasat kemungkinan terdapat unsur sabotaj terhadap pesawat MAS MH192 yang berpatah balik sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bangalore, India kira-kira jam 10.06 malam, kelmarin.
Ia ekoran insiden terbaharu melibatkan pesawat MAS MH192 yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam pada saat misteri kehilangan pesawat MAS MH370 masih belum terjawab.
Pesawat yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal berkenaan dilaporkan mendarat cemas di KLIA jam 1.56 pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan ambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi proses siasatan.
"Kita akan siasat secara terperinci mengenai insiden yang berlaku terhadap pesawat itu," katanya pada sidang media selepas pelancaran Persidangan Akademi Persatuan Polis Antarabangsa (Interpa) kali ketiga, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, untuk menyiasat sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj terhadap MAS.
Sebelum itu, kecekapan juruterbang pesawat itu yang melakukan pendaratan dengan baik dan lancar mendapat pujian penumpang pesawat berkenaan berikutan masalah teknikal pada gear pendaratan.
0 comments:
Post a Comment