Kuantan - Seorang lelaki dihukum penjara selama tiga bulan sebagai balasan atas tabiat buruknya yang suka mengendap sehingga berani menceroboh bilik sewa seorang wanita di tingkat 2 sebuah bangunan kedai di Lorong Tun Ismail 11, Seri Dagangan 2 di sini, kelmarin.
Tertuduh, Shaari Junit, 46, berasal dari Petaling jaya, Selangor yang dicekup kerana menceroboh bilik wanita berusia 21 tahun bagi tujuan jijiknya itu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam dan dia mengaku bersalah sebelum dijatuhkan hukuman.
Tanpa segan silu tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia menceroboh bilik sewa wanita terbabit untuk mengintai wanita berkenaan.
Bagaimanapun nasibnya agak malang tengah malam 6 April lalu apabila kehadirannya disedari dan dia berjaya ditahan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun keseksaan kerana menceroboh.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh sebelum itu berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Abdul HalimHamat di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali.
0 comments:
Post a Comment