Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 8, 2014

CERAH PELUANG KE LIGA JUARA-JUARA





Liverpool: Everton tampil garang membelasah Arsenal 3-0 di Goodison Park, malam tadi untuk mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat teratas, sekali gus mencetuskan kemungkinan beraksi di Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh sembilan musim.

Kemenangan keenam berturut-turut Everton dalam aksi liga itu meletakkan skuad kendalian Roberto Martinez itu kekal menghuni tangga kelima tetapi kini hanya satu mata di belakang Arsenal di tangga keempat, namun Toffees masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan. 

Gol menerusi Steven Naismith pada minit ke-14 disusuli solo menarik Romelu Lukaku untuk gol kedua pada minit ke-34 dan rembatan Kevin Mirallas yang terbias ke gawang sendiri oleh bekas pemain tengah Everton, Mikel Arteta pada minit ke-62 menghadiahkan Arsenal satu lagi kekalahan buruk selepas mereka dibelasah Liverpool 5-1 dan Chelsea 6-0. 


Peluang ‘pecah’ rekod

Kali terakhir Arsenal gagal layak beraksi di Liga Juara-Juara ialah pada musim 1997/98 tetapi dengan prestasi semasa yang goyah ketika ini, rekod itu semakin terancam untuk dipecahkan musim ini.

Everton pernah beraksi di saingan kelayakan Liga Juara-Juara pada musim 2005/06 tetapi gagal melangkah ke saingan sebenar, sekali gus sebenarnya boleh dianggap belum pernah beraksi di kejohanan tertinggi Eropah itu.

Buat Arsenal, mereka perlu meningkatkan semula tahap permainan mereka menjelang baki lima perlawanan terakhir bagi memastikan Everton tidak mampu memintas kedudukan mereka di tangga keempat ketika ini. 
Arsenal hanya mampu memberi sedikit kebimbangan terhadap benteng pertahanan Everton menerusi rembatan Alex Oxlade-Chamberlain yang berjaya ditepis penjaga gol, Tim Howard.

0 comments:

share2