Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 7, 2014

BELIAWANIS PERLU FAHAMI GST

Khairuddin memberikan taklimat mengenai GST kepada 200 beliawanis


PEMAHAMAN mendalam penduduk kampung terutama beliawanis mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) penting agar pelaksanaannya tidak diputarbelitkan pihak berkepentingan.

Pengerusi Gerakan Beliawanis 4B Malaysia kawasan Parit Buntar, Amrina Md Saad berkata, penduduk kampung harus dibekalkan sumber maklumat yang tepat agar pelaksanaannya tidak dianggap membebankan.

Menurutnya, semua pemimpin tempatan diminta memainkan peranan mereka menjelaskan kepada penduduk mengenai kepentingan GST yang bakal dilaksanakan pada April tahun depan.

“Selain GST, pemahaman penduduk khasnya di kawasan luar bandar mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga harus diperluaskan.

“Hal ini disebabkan apabila komuniti luar bandar berdepan persoalan mengenai kerelevanan GST dan BR1M, ada yang belum faham, ada yang dapat dan ada yang tidak dapat, jadi inilah peluang kita untuk menyatakan soalan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Program Ladies Hi-Tea anjuran Gerakwanis Belia 4B Malaysia cawangan Parit Buntar di Kampung Raja Bashah, di sini.

Majlis yang dirasmikan Ketua Umno bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Md Ali itu turut dihadiri Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit Buntar, Mu’ammar Ghadafi Jamaluddin, Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Salleh Md Disa dan Timbalan Pengarah Biro Tatanegara Perak, Mohd Saiful Bakri Yusuf.

Amrina berkata, antara tujuan utama program itu diadakan adalah menyampaikan maklumat tepat mengenai GST dan BR1M kepada pemimpin tempatan yang akan menerangkannya kepada penduduk kampung.

Jelasnya, penganjuran aktiviti itu adalah peluang terbaik untuk mereka mendengar sendiri penerangan disampaikan pihak yang arif selain mengetengahkan peranan golongan beliawanis terhadap pembangunan negara.

“Harapan saya ialah semua pihak memberi perhatian khusus mengenai perkara ini walaupun GST tidak dilaksanakan tahun ini.

“Kita perlu pemahaman yang menyeluruh supaya kita dapat memberitahu rakan, keluarga, dan masyarakat mengenai GST serta pelaksanaannya, biarlah kita dapat menerangkan maklumat yang tepat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, taklimat mengenai GST dikendalikan Pensyarah Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Khairuddin Mohamed Azahari.

Seramai 200 hadirin melibatkan barisan kepimpinan wanita dari sekitar Dun Kuala Kurau hadir memeriahkan program Ladies Hi-Tea yang bakal diadakan secara berkala setiap tahun.

0 comments:

share2