Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 6, 2014

ROMPIN DISELUBUNGI JEREBU




Rompin – Keadaan jerebu di daerah Rompin dilihat agak teruk hingga menyebabkan jarak penglihatan ketika memandu sangat terhad selain bau asap yang dapat dihidu ketika berada di kawasan terbuka dan tambah teruk sesetengah kawasan di Kuala Rompin dapat menghidu bau asap walaupun ketika berada dalam rumah.

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam mendapati keadaan jerebu dilihat begitu ketara di waktu pagi sekitar jam 8 hingga 12 tengahari dan kemudiannya beransur pulih menjelang waktu tengahari hingga ke petang.

Bagaimanapun penduduk sekitar masih melakukan aktiviti harian seperti biasa dan tiada yang dilihat memakai topeng muka.





Sudah berlarutan beberapa hari


Seorang guru sebuah sekolah sekitar Kuala Rompin yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman berkata, keadaan jerebu ini sudah berlarutan beberapa hari dan hari ini (semalam) dilihat yang paling teruk.

Menurutnya, aktiviti luar bilik darjah masih berjalan seperti biasa dan hingga kini masih tiada arahan untuk mengehadkan aktiviti pelajar di luar bilik darjah.

“Saya tahu mengenai banyak kebakaran hutan atau ladang yang berlaku di daerah ini dan saya tidak pasti ini adalah jerebu atau asap kebakaran tersebut yang ditiup angin.

“Setakat ini masih tiada arahan atau memo yang mengehadkan aktiviti pelajar di luar bilik darjah, jadi aktiviti berjalan seperti biasa walaupun kami boleh menghidu bau asap jika berada di kawasan luar,” katanya kepada Sinar Harian.




Empat kawasan kebakaran utama


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Md Yunus Isnin yang dihubungi Sinar Harian berkata, keadaan jerebu ini mungkin disebabkan kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Rompin.

“Terdapat empat lokasi kebakaran utama yang diberi perhatian pada waktu ini iaitu di Ladang Sungai Endau, Ladang LKPP Sabak di Tebu Hitam, Ladang Delima di Kampung Perpat dan hutan belukar Kampung Kerpal yang mula terbakar petang kelmarin berhampiran dengan lokasi kebakaran yang telah pun berjaya dipadam sebelum ini.

“Kapasiti kebakaran yang besar ini terutama di Kampung Kerpal yang melebihi 100 hektar mungkin menjadi punca atau faktor jerebu di sekitar Kuala Rompin waktu ini,” katanya.

Menurutnya, kebakaran yang berlaku di hutan belukar Kampung Kerpal kemungkinan makin merebak pada hari ini (semalam) dan kini hanya kawalan yang mampu dilakukan bagi mengelak ia merebak ke dalam ladang kelapa mataq yang berada berhampiran.

“Anggota bomba yang bertugas tidak mencukupi untuk memadam kebakaran yang berlaku di empat kawasan ini.

“Hanya dua anggota ditugaskan di setiap kawasan kecuali di Ladang Sungai Endau seramai enam orang kerana lokasinya yang jauh dan mereka perlu bermalam di sana. Selebihnya bersiap sedia di balai untuk memadam kebakaran belukar atau semak di tepi jalan,” katanya.



Hampir setiap hari terima panggilan kebakaran


Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Mohd Rasidi Mohd Isa yang turut dihubungi Sinar Harian mengesahkan tiada kebakaran yang besar berlaku di sana.

“Hampir setiap hari pihak bomba Muadzam Shah menerima panggilan aduan kebakaran dan setakat ini tidak terdapat kebakaran dalam kapasiti yang besar, hanya satu yang agak besar berlaku iaitu kebakaran sekam sawit di kilang sawit Keratong 3.

“Saya difahamkan oleh anggota yang terlibat dalam operasi di sana kemungkinan tempoh lebih satu hari diperlukan untuk memadamkan kebakaran sekam sawit tersebut.” katanya.

Menurutnya, keadaan jerebu di Muadzam Shah agak kuat pada petang kelmarin manakala pada hari ini sudah berkurangan.

“Keadaan jerebu di Muadzam Shah ini mungkin disebabkan asap kebakaran yang berlaku di Penor, Pekan dan Kuala Rompin di tiup angin hingga ke sini,” katanya.

0 comments:

share2