Jempol - Seorang remaja sanggup merasuah seorang anggota polis selepas gagal menunjukkan lesen memandu bagi mengelak dirinya disaman kerana tidak memakai topi keledar, kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, ketika kejadian, remaja berusia 17 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha secara sendirian sebelum ditahan Ketua Polis Balai Rompin, Sarjan Mejar, Rosli Mohd Ali.
“Selepas memperkenalkan diri dan menunjukkan pengenalan identiti polis, anggota berkenaan meminta remaja terbabit menunjukkan lesen memandu bersama kad pengenalan dirinya.
“Namun, remaja itu hanya mengeluarkan kad pengenalan dan memaklumkan tiada lesen memandu, sebelum mengeluarkan duit RM50 supaya dirinya tidak dikenakan saman dan dilepaskan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Jempol petang semalam.
Hamzah berkata, tindakan remaja terbabit akhirnya memakan diri dan dia kini disiasat di bawah Seksyen 17 b Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berumur 23 tahun dalam sekatan jalan raya di Serting Hilir kerana menunggang motosikal curi.
"Motosikal tersebut dilaporkan hilang pada 27 Februari lalu dan kita juga turut menjumpai sepeket dadah bersama dua tiup straw dalam sebuah beg kecil pada badannya.
“Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 379 B Kanun Keseksaan dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment