Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 7, 2014

PAHANG TERIMA RM2.7 JUTA ZAKAT TH





Kuantan – Pusat Kutipan Zakat Pahang menerima bayaran sebanyak RM2.7 juta daripada Tabung Haji (TH) yang menyempurnakan bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2013 dalam satu majlis yang diadakan di Istana Abdul Aziz, di sini, semalam.

Bayaran zakat berkenaan diterima Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang disampaikan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Sri Kamarudin Mat Ali.

Tengku Abdullah bertitah, pembayaran zakat berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding hanya RM2.4 juta dibayar kepada Pahang bagi 2013.

“Terima kasih kepada TH kerana membuat bayaran permulaan sebanyak RM2.7 juta dan mereka tunjukkan contoh yang baik dengan menunaikan rukun Islam dengan lebih awal.

“Diharapkan lebih banyak syarikat atau badan korporat tampil membayar zakat lebih awal supaya dapat tunaikan tanggungjawab lebih awal.

“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah RM46.29 juta berbanding RM41.21 Juta pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan dan bagi Pahang, pengagihan zakat diterima meningkat bagi tempoh tiga tahun iaitu bermula 2011 sebanyak RM2.3 juta, RM2.4 juta dan terus bertambah bagi 2013,” titahnya.

Titah baginda, bagi 2014 Pusat Kutipan Zakat menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM115 juta dengan jumlah bilangan pembayar seramai 77,000 orang.

“Kutipan zakat harta terus meningkat pada 2013 iaitu sebanyak RM109 juta berbanding RM103 juta pada 2012 dan bilangan pembayar zakat turut mencatat peningkatan iaitu dari 67,210 kepada 71,232.

“Antara pendekatan yang akan diambil bagi memenuhi sasaran sebanyak RM115 juta ialah meluaskan kempen, memperluas kemudahan pembayaran dan bergerak seiring dengan bahagian agihan zakat Muip,” titahnya

0 comments:

share2