Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 19, 2014

MH370: PESAWAT DIKESAN RADAR TENTERA THAILAND



Bangkok: Sebuah pesawat disyaki penerbangan MH370 dikesan pihak tentera Thailand beberapa minit selepas sistem komunikasinya dikatakan ditutup.

Jurucakap Tentera Udara Thailand Naib Marsyal Udara Montol Suchookorn berkata, pesawat itu dikesan menghala Selat Melaka. 

Namun, Montol tidak dapat mengesahkan jika ia pesawat yang sama seperti dikesan radar Malaysia pada 8 Mac. 

Maklumat ini tidak didedah awal lagi kerana pihak tentera Thailand tidak menganggapnya sebagai ancaman, kata Montol.

“Jika ia bukan ancaman, kami hanya akan membuat pemerhatian tanpa mengambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, pesawat itu tidak terbang ke ruang udara Thailand dan Malaysia tidak meminta maklumat terperinci pada permulaan operasi pencarian. 

“Apabila ditanya sekali lagi berdasarkan maklumat dan andaian baru, kami meneliti semula data. Ia tidak mengambil masa yang lama tetapi memerlukan pertolongan pakar,” katanya. 

Pesawat MH370 berlepas pada 12.40 pagi dan transponder didakwa dimatikan pada jam 1.20 pagi. 

Montol berkata, radar tentera Thailand mengesan tanda pesawat terbang pada arah bertentangan menuju ke Kuala Lumpur pada jam 1.28 pagi. 

Pesawat itu kemudian berpusing ke kanan ke arah Butterworth. 

Namun, tanda tidak kerap dikesan radar dan tiada maklumat seperti nombor penerbangan. 

Montol tidak dapat mengesahkan kali terakhir radar Thailand mengesan pesawat itu. 

Pegawai Malaysia berkata, MH370 dikesan radar tentera pada jam 2.14 pagi. 

0 comments:

share2