Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 13, 2014

MH370 - JANGAN PERCAYA TOHMAHAN






Alor Setar - Rakyat dinasihatkan agar tidak mempercayai pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan susulan kehilangan pesawat MH370, Sabtu lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tuduhan tidak berasas yang disebarkan secara meluas terutama melalui laman sosial itu tidak rasional berikutan kerajaan tidak akan sesekali menzalimi rakyat atau memperjudikan aspek keselamatan nasional.

“Fikirkan secara rasional, ini membabitkan aspek keselamatan negara, saya berharap rakyat tidak percaya pada sumber yang tidak sahih,” katanya, selepas melancarkan showcase produk Kedah untuk majlis rasmi kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, semalam.

Katanya, pengguna laman sosial diingatkan agar sensitif terhadap perasaan keluarga penumpang dengan tidak sebarkan maklumat tidak sahih.

“Saya ingin berpesan agar gunakan media sosial secara berhemah, simpati dan sensitif terhadap perasaan keluarga terbabit,” katanya.

Mukhriz turut melahirkan rasa sedih ketika beliau mengunjungi empat keluarga penumpang MH370 dari Kedah, di KLIA, baru-baru ini.

“Saya begitu tersentuh hati apabila seorang ibu kepada penumpang menyatakan, menunggu itu suatu seksaan. Saya tak dapat bayangkan situasi mereka yang menanti kepulangan insan tersayang dengan penuh sabar,” katanya.

Tambahnya, keluarga terbabit turut memaklumkan tidak lagi mengikuti laman sosial berikutan terlalu banyak maklumat tidak tepat disebarkan.

“Mereka amat sedih apabila dengar berita yang beri mereka harapan, namun di saat akhir didapati maklumat itu tidak benar,” katanya.

0 comments:

share2