Pasir Puteh - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menghantar sampel daripada tompokan minyak yang ditemui di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali dekat sini ke Jabatan Kimia di Petaling Jayauntuk dianalisis.
Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sampel itu yang diambil oleh Kapal KD Amanah pukul 11 pagi tadi dihantar malam tadi.
"Keputusan analisis sampel minyak itu dijangka dapat diketahui tengah hari ini," katanya dalam sidang media mengenai Misi Pencarian Kehilangan Pesawat MAS, di Maritim, Pejabat Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini malam semalam.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Mohd Amdan berkata sampel minyak itu terpaksa dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya kerana di Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai kemudahan untuk menganalisis minyak berkenaan.
Mohd Amdan berkata tompokan minyak sepanjang 2 kilometer itu kelihatan berlainan kerana warnanya kekuningan berbanding tompokan tumpahan minyak kapal dagang yang biasa ditemui di mana-mana perairan.
Dalam tinjauan udara yang dilakukannya petang ini di kawasan 70 hingga 100 batu nautika dari pantai di perairan Terengganu, Kelantan dan sempadan Thailand dan Vietnam, tidak menemui apa-apa petunjuk berkaitan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang itu.
Beliau berkata pembabitan pasukan mencari dan menyelamat kini semakin bertambah dengan aset kapal ronda dan pesawat dari Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Maritim.
"Esok kita akan teruskan operasi di kawasan baharu membabitkan 70 batu nautika hingga ke pantai," katanya.(semalam)
Mohd Amdan berkata Maritim telah mengambil langkah proaktif berdasarkan maklumat baharu yang berkemungkinan pesawat MH370 berpatah balik dan hilang di Selat Melaka, dengan menghantar empat kapal ronda untuk membuat pencarian di kawasan 60 batu nautika dari Langkawi, Kedah.
#PRAY4MH370
0 comments:
Post a Comment