Kuantan - Satu lokasi khas yang bakal menempatkan peniaga Melayu bakal diwujudkan di bandar ini dan dijangka dapat membantu peniaga itu meningkatkan perniagaan mereka.
Cadangan pembukaan Kuantan Trade Centre yang dikatakan menelan kos antara RM2 hingga RM3 juta itu diharap menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Datuk Abdul Rahman Daud berkata, keluasan lokasi perniagaan itu ialah kira-kira 3.2 hektar dan memuatkan lebih 2,000 lot ruang perniagaan.
Menurutnya, tapak yang dicadangkan itu adalah strategik dan mampu menambah pendapatan peniaga yang menyewa di kawasan itu.
“Kita hanya memberi fokus kepada peniaga Melayu bagi merebut peluang ini dan jenis perniagaan tidak terhad kepada produk tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, sewa bulanan tapak berkenaan tidak membebankan dan mampu berbanding bayaran yang dikenakan di gedung membeli-belah.
“DPMM benar-benar mahu membantu peniaga Melayu yang mungkin tidak mampu menjalankan perniagaan di lokasi tertentu di Kuantan tetapi mereka masih berpeluang mendapat keuntungan," katanya.
Bagaimanapun katanya, perkara itu masih di peringkat rundingan dengan beberapa agensi dan kerajaan negeri tetapi menampakkan penerimaan positif selepas kertas cadangan dihantar.
Katanya, tapak sebenar masih dalam tinjauan dan bayaran sewa sedang dalam pertimbangan supaya tidak merugikan kedua-dua pihak tetapi pada masa sama masih mampu mendapat keuntungan.
Abdul Rahman turut menasihatkan peniaga supaya mendaftar melalui DPMM bagi memudahkan mereka mendapatkan tapak perniagaan.
Sehingga kini, katanya, seramai 942 ahli berdaftar dengan DPMM tetapi hanya 659 yang aktif.
“Mungkin ada dalam kalangan peniaga yang mewarisi perniagaan kepada anak-anak atau ahli keluarga lain tetapi terkini mereka tidak mendaftar dengan DPMM,” katanya.
0 comments:
Post a Comment