Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 25, 2014

KANAK-KANAK NYARIS DISAMBAR API




Kota Bharu - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun nyaris disambar api dalam kejadian di Kampung Lorong Air Batu, Telipot di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi itu, mangsa, Nik Mohd Fahmee Aiman Nik Mohd Fathilah yang sedang tidur dalam biliknya, terjaga apabila merasa bahang panas di bahagian atas kepalanya.

“Saya terus bangun dan apabila mendongak ke bahagian suis lampu, saya lihat api mula menyambar ke keseluruhan bilik, mujurlah saya bertindak cepat menyelamatkan diri kerana api betul-betul menyambar di bahagian katil di tempat tidur saya.

“Semasa turun dari tangga tingkat atas rumah, saya sempat berteriak meminta tolong kepada abang yang sedang menonton televisyen di ruang tamu yang bilik tidur kami terbakar,” katanya kepada media ketika di temui di lokasi kejadian semalam.

Nik Mohd Fahmee berkata, abangnya turut bergegas keluar dari rumah mereka dan berjaya menyelamatkan diri.

Fahmi yang masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu, kemudiannya cuba ditenangkan ahli keluarganya.

Menurut ibunya, Mashitah Baharudin, 53, dia yang keluar bekerja hanya dimaklumkan oleh jiran terdekat kediaman tingkat atas yang disewanya sejak tiga tahun lalu, terbakar melalui panggilan telefon.

“Saya terus pulang dari tempat kerja dan dengan rasa sedih mendapatkan anak saya, Nik Mohd Fahmee, mujurlah dia selamat memandangkan semasa kejadian saya dan suami tiada di rumah hanya tinggal dia dan abangnya berdua. Syukurlah semuanya selamat walaupun kesemua barangan dalam rumah gagal diselamatkan,” katanya.

Seorang penyewa lagi, Maimun Muda, 47, berkata, ketika kejadian dia yang menyewa di tingkat bawah berkata, dia hanya dimaklumkan jiran apabila ternampak api dari tingkat atas rumah salah seorang penyewa terbakar.

“Saya yang ketika itu sedang berehat sambil menonton televisyen terus keluar dari rumah dan hanya dapat mencapai beg tangan dan pengenalan serta kain baju yang berada berdekatan.

“Barang-barang lain saya tak dapat selamatkan kerana api marak begitu cepat dan memusnahkan keseluruhan kediaman yang disewa tiga keluarga,”katanya.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Penguasa Bomba Kanan II, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.26 dan sampai di tempat kejadian pada jam 10.33.

“Dalam operasi memadam kebakaran kali ini, melibatkan tiga jentera dari balai bomba Tunjung, Kota Bharu dan Darul Naim dengan 15 anggota.

“Walaupun bekalan air agak kurang namun kita berjaya memadamkan kebakaran dari terus merebak ke tingkat bawah dan ketika sampai hampir 70 peratus bangunan terbabit terbakar, namun setakat ini kita masih menjalankan siasatan terhadap punca dan kerugian akibat kebakaran,” katanya.

0 comments:

share2