Kepala Batas - Seorang warga emas rentung apabila rumah yang didiaminya terbakar di Kampung Permatang Bertam di sini semalam.
Faridah Halim, 77, yang juga bekas guru, tinggal di rumah itu seorang diri berikutan dua anaknya tingal berasingan iaitu di Bertam di sini dan Sungai Petani, Kedah.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang M.Vijayan berkata bomba menerima panggilan pada 7.49 malam dan tiga jentera dengan kekuatan 23 anggota mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, beberapa penduduk di kawasan itu memberitahu seorang wanita berada dalam rumah dua tingkat itu.
"Ketika itu, api sedang marak dan hampir 80 peratus rumah yang bahagian atasnya papan dan bawah batu telah terbakar," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Vijayan berkata mayat wanita itu ditemui di tepi tandas tingkat bawah rumah berkenaan.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.
Sementara itu, Mohd Ridzuan Mat Yusuf, 34, yang berada di kawasan berkenaan ketika kebakaran, berkata sebelum kejadian, mangsa membeli nasi berlauk di sebuah gerai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.
"Saya berada di gerai berkenaan dan tidak sampai 10 minit dia balik ke rumahnya, saya nampak asap dan api dari rumahnya. Beberapa pelanggan di kedai juga dengar jeritannya meminta tolong," kata anggota tentera itu.
Katanya, beberapa pelanggan termasuk beliau bergegas ke rumah mangsa untuk membantu wanita itu namun tidak dapat masuk kerana semua pintu berkunci.
"Pelbagai cara kami cuba untuk masuk (ke dalam rumah) tapi semua pintu, termasuk pintu jeriji, juga berkunci, kami memangilnya tetapi hanya kedengaran jeritan meminta tolong," katanya.
0 comments:
Post a Comment