Kuantan - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyalurkan bantuan berjumlah RM1.15 juta kepada mangsa banjir di negeri ini yang terjejas akibat musibah itu pada awal Disember tahun lalu.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dalam satu majlis di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd. Ghazali Che Nik.
Wan Mohd. Hasnan dalam ucapannya berkata, bantuan tersebut adalah dalam bentuk kad hadiah Petronas mengandungi RM250 bagi setiap kad.
Setiap penerima boleh menggunakan kad ini untuk berbelanja di mana-mana kedai Mesra Petronas termasuk membeli petrol di stesen minyak Petronas," katanya.
Beliau berkata, bantuan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mangsa banjir yang terdapat di negeri Petronas beroperasi khususnya di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Sementara itu Muhammad Safian berkata, bantuan menerusi pemberian kad hadiah Petronas bernilai RM250 itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di negeri ini biarpun musibah itu telah tiga bulan berlalu.
Biarpun banjir sudah lama pulih, kita amat berterima kasih dengan keprihatinan Petronas menyalurkan sumbangan ini dan kita akan segera mengagihkan bantuan ini kepada mangsa yang terlibat.
Soal lambat atau cepat bantuan yang diberikan itu tidak timbul, apa yang penting adalah kesudian mereka menyampaikan bantuan," katanya.
0 comments:
Post a Comment