Raub - Hati ibu mana yang tidak hiba melihatkan anak sulungnya yang sudah menginjak usia enam tahun namun masih lagi tidak dapat bercakap dan berjalan sebagaimana kanak-kanak lain.
Namun begitu, Siti Maryam Baharudin, 28, reda dengan nasib yang menimpa anaknya, Nur Ain Syafiqah Iskandar, 6 atau lebih mesra dengan gelaran Ain.
Menurut Siti Maryam, Ain pada asalnya dilahirkan sebagai seorang bayi normal sehingga dia berusia 2 bulan, doktor mendapati kepalanya membesar secara luar biasa,” katanya.
Tambahnya, sejak daripada itu juga Ain hanya mampu terlantar dan tidak dapat bercakap, namun boleh memahami percakapan orang lain.
“Doktor memberitahu Ain mempunyai masalah saraf otak. Sejak berusia lima bulan, dia kerap diserang sawan namun sudah berkurangan semenjak akhir tahun lalu.
“Dalam sejarah keluarga saya dan suami, belum ada lagi yang menghidap penyakit ini, malah doktor sendiri tidak dapat pastikan penyakit yang dihidapinya,” katanya.
Siti Maryam memberitahu, setiap enam bulan sekali Ain perlu dibawa ke HospitalKuala Lumpur untuk berjumpa pakar dan setiap dua hingga empat bulan sekali ke Hospital Raub.
“Sebelum ini kami sering berulang ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapatkan rawatan, namun kami minta dilakukan rawatan di Hospital Raub sahaja memandangkan hospital di sini sudah ada doktor yang boleh merawatnya,” katanya.
Katanya, ketika berusia 1 tahun, Ain telah didaftarkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dan telah memohon untuk mendapatkan elaun OKU, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang bantuan.
“Kami bukanlah dari keluarga yang senang. Suami saya hanya bekerja sendiri berniaga kuih di merata-rata tempat.
“Kami terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan rumah sehingga kadang kala tidak dapat membeli kelengkapan untuk Ain. Jika dapat wang elaun terbabit dapatlah sedikit sebanyak kami belanjakan untuk ubat tambahan dan lampinnya serta simpanan untuk masa hadapannya,” katanya.
Menurut Siti Maryam lagi, pendapatan kasar yang dimiliki suaminya, Iskandar Abdul Malek, 37, adalah sekitar RM1,500.
“Sebelum ini kami ada memberikan Ain ubat tambahan, namun disebabkan ia terlalu mahal sehingga menelan belanja RM400 sebulan, kami terpaksa menghentikannya kerana tidak mampu,” katanya.
Selain berharap menerima bantuan elaun untuk OKU, dia juga berharap agar Ain turut diberikan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.
“Sebelum ini kami belikan dia kerusi tolak bayi untuk bayi kembar. Dengan usianya yang semakin meningkat, Ain sudah tidak sesuai lagi untuk menggunakan kerusi tolak bayi.
“Pihak Hospital Kuala Lumpur, selain memberi sokongan untuk mendapatkan wang elaun, mereka turut memberikan surat sokongan untuk mendapatkan kerusi roda. Saya sudah membuat permohonan kerusi roda tersebut dan dimaklumkan akan diberikan keputusan dalam masa terdekat ini ,” katanya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub dalam pada itu memberitahu Sinar Harian bahawa permohonan wang elaun untuk Ain yang dihantar sejak sebulan yang lalu masih lagi dalam siasatan.
Difahamkan, wang elaun terbabit akan diberikan setelah siasatan selesai dan berdasarkan siasatan terbabit, sekiranya layak dan bersesuaian, Ain akan diberikan wang elaun berkenaan.
0 comments:
Post a Comment