Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 6, 2014

DAP RANCANG PINDA PERLEMBAGAAN MANSUHKAN ISLAM


KUALA LUMPUR - Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 adalah penghinaan kepada umat Islam yang akhirnya boleh mengakibatkan gejala murtad berleluasa di negara ini.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, cadangan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah perbuatan itu seperti menderhaka terhadap Sultan Selangor dan institusi raja di negara ini.

Menerusi pindaan itu katanya, gejala murtad boleh berlaku secara terbuka kerana tindakan undang-undang tidak boleh diambil terhadap kesalahan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan umat Islam.

“Jika pindaan berlaku sudah tentu umat Islam akan marah dan bangkit secara terbuka untuk menentang habis-habisan tindakan tiga wakil rakyat ini yang cuba bermain api dan mencetuskan kemarahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkan cadangan wakil rakyat DAP untuk membuat pindaan berkenaan sebagai amat berbahaya kerana bakal mengundang implikasi terburuk kepada negara sekali gus membawa perselisihan antara agama.

Hasan turut mempersoalkan asas pindaan itu sedangkan enakmen berkenaan tidak terpesong daripada Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan Raja-raja Melayu yang memayungi agama Islam selain disokong oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tiga wakil rakyat itu mahu enakmen tersebut dipinda susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ismail berkata, tiga wakil rakyat ini tidak layak menetap di Selangor kerana telah menderhaka kepada sultan yang bertitah melarang kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam sebagaimana diputuskan mahkamah.

“Walaupun DAP dijangka tidak boleh menang untuk cadangan diluluskan di dewan tetapi umat Islam jangan ambil mudah kerana ini menunjukkan agenda sebenar DAP di negara ini," jelasnya.

Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pindaan itu mengakibatkan umat Islam hilang hak dan kuasa untuk memelihara kesucian agama Islam sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan enakmen-enakmen negeri.

Sambil menyifatkan cadangan tersebut sebagai ancaman paling besar kepada umat Islam, beliau berkata, penganut Islam perlu bersatu padu dan bangkit menentang agenda DAP tersebut tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

“Jika pindaan ini diluluskan maka apa-apa sahaja perkara yang orang Islam hendak buat adalah tertakluk kepada persetujuan bukan Islam, maknanya apa-apa sahaja membabitkan hal-ehwal Islam seperti nikah kahwin, menyebarkan agama dan sebagainya, kita kena minta kebenaran dan kelulusan mereka terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, cadangan tersebut menunjukkan wajah sebenar agenda DAP dan disebabkan itu umat Islam perlu berhenti berbalah sesama sendiri demi masa depan umat di negara ini.

“Tindakan tiga wakil rakyat ini cukup biadab dan kita sepatutnya tidak berlembut dengan mereka untuk mempertahankan hak-hak kita yang dijamin dalam undang-undang di tanah air kita sendiri," katanya.

0 comments:

share2