Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 6, 2013

JALAN TERPUTUS PUNCA BANTUAN LEWAT


KUANTAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa batang jalan utama yang terputus akibat ditenggelami air menyebabkan agensi kerajaan lewat menghantar bantuan kepada mangsa banjir kerana laluan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan biasa.

Perdana Menteri berkata, agensi terbabit mempunyai sumber kekuatan dalam menguruskan bantuan, namun terdapat masalah menghantar bekalan ke pusat pemindahan atau menyelamat mangsa kerana menghadapi kesukaran tersebut.

"Ini menjadi masalah sebab kita terpaksa menggunakan kenderaan lebih besar. Itu satu daripada pengajaran daripada banjir kali ini.

"Kita mesti ada kenderaan lebih besar dalam menangani keadaan banjir seperti yang berlaku kali ini," katanya kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Batu 10 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat tiga pusat pemindahan di Pekan dan Rompin yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Najib berkata, kesulitan lain dihadapi oleh agensi terlibat adalah disebabkan mangsa banjir meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan selepas rumah mereka dinaiki air.

"Ada sesetengah tempat itu kiri, kanan tak lepas. Masalah jalan itu ada tetapi nak membawa bot ke tempat berkenaan menjadi masalah," katanya.

Tambahnya, penggunaan helikopter juga adalah terhad kerana ada sesetengah tempat menghadapi masalah tidak dibenarkan mendarat.

Walau bagaimanapun, beliau berpuas hati tindakan segera agensi terlibat yang sedaya upaya membantu mangsa banjir.

Mengulas masalah jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak mempunyai stok bekalan makanan kerana terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara, beliau berkata, dalam hal ini, pihaknya memberi pengecualian terhadap perkara itu.

Menurutnya, jabatan atau agensi terlibat dalam operasi bencana alam atau banjir tidak perlu terikat dengan peraturan tersebut.

"Kita beri pengecualian sebab kecemasan dan dalam keadaan darurat perlu membeli makanan dengan segera," katanya.

0 comments:

share2