Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 29, 2013

KUKUHKAN PEMBELA MELAYU


SEMEMANGNYA kalau mahu membandingkan Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, perhimpunan tahun ini tentulah tidak begitu meriah, apatah lagi pemilihan pun sudah selesai.

Tahun lalu, UMNO berada di ambang 'peperangan' Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka hadir ke Pusat Dagangan Dunia (PWTC) dengan penuh semangat untuk mendengar amanat dan pesanan pemimpin-pemimpin kanan sebagai bekalan untuk turun bertempur.

Walaupun keputusan PRU-13 tidak begitu membanggakan memandangkan Barisan Nasional (BN) masih gagal memperolehi majoriti dua pertiga namun UMNO terus unggul menjadi pilihan orang Melayu dengan menguasai 88 kerusi Parlimen dan paling cemerlang melalui kepimpinan Datuk Mukhriz Tun Mahathir, UMNO Kedah berjaya menamatkan penguasaan Pas.

Bagaimanapun UMNO tidak harus selesa dengan keadaan itu, sebaliknya mereka harus memahami bahawa cabaran yang mendatang khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih getir.

Matlamat perjuangan UMNO kali ini harus lebih terfokus untuk membela nasib orang Melayu dan mempertahankan kesucian agama Islam. UMNO tidak harus apologetik dalam soal ini, biar pun akan dituduh bersikap assobiyah, perkauman atau apa sahaja gelaran.

Apa yang penting ialah UMNO perlu membalas jasa orang Melayu yang memastikan parti itu terus kekal sebagai tonggak BN dan dalam masa yang sama berusaha menarik sokongan orang Melayu secara keseluruhan untuk memahami bahawa hanya parti itu sahaja mampu membela mereka.

Orang Melayu sudah melihat bagaimana dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 di Shah Alam, Pas yang kononnya memperjuangkan Islam ternyata semakin bercelaru dalam arah tujunya perjuangannya. Hendak membela orang Melayu tidak berani, hendak menegakkan Islam pula teragak-agak.

Keadaan itu berlaku kerana Pas tidak mahu dilihat terlalu mementingkan orang Melayu sehingga ia akan menyebabkan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tersinggung. Oleh itu Pas mengambil jalan tengah, ke arah membela Melayu pun tidak, memartabatkan Islam pun belum tentu.

Sementara, kita memahami bahawa UMNO juga memerlukan sokongan kaum lain tetapi janganlah sampai parti itu dilihat sehingga perlu 'melutut' untuk mendapat undi, manakala orang Melayu pula berasa terpinggir.

Justeru perhimpunan agung kali ini harus dijadikan medan untuk membuat 'post mortem' dan mengatur strategi bagaimana hendak mengekalkan UMNO sebagai tonggak BN dan memastikan kuasa politik Melayu tidak berakhir dalam PRU14 nanti.

Cabaran UMNO tidak mudah memandangkan selain terpaksa berhadapan dengan fitnah dan tohmahan PKR serta DAP, UMNO juga perlu memberi penjelasan terhadap propaganda politik Pas yang menggambarkan seolah-olah mereka sahaja yang berhak memperjuangkan Islam.

PKR dan DAP bersatu untuk mempolitikkan apa sahaja usaha dan tindakan kerajaan BN manakala Pas pula terus menaburkan dakyahnya untuk memastikan orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO.

Dakwaan penyelewengan, rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran negara menjadi senjata PKR dan DAP manakala menolak Islam serta bersikap assobiyah pula menjadi alat Pas. Ketiga-tiga parti ini menjadikan UMNO sasaran utama kerana mereka faham jika UMNO lemah maka berakhirlah riwayat politik BN.

Berikutan itu mahu tidak mahu, UMNO perlu memantapkan kedudukan dalam arena politik tanah air dengan memastikan orang Melayu khususnya terus menyokong mereka. Biarlah apa pun yang hendak dikatakan oleh pakatan pembangkang terutamanya Pas dalam soal ini.

Sejarah politik negara menunjukkan UMNO jauh lebih baik daripada Pas dan UMNO hakikatnya lebih kuat daripada Pas. Namun kelebihan dan kekuatan ini sering kali lebur begitu sahaja apabila ada dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO masih meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti.

Situasi inilah memungkinkan sehingga ke hari ini, Kelantan masih belum mampu dapat ditawan oleh UMNO manakala di Terengganu pula, BN terpaksa memerintah dalam keadaan cukup genting melalui kelebihan satu kerusi ini.

Ia belum lagi mengambil kira keadaan di Selangor yang memberi bukti jelas bagaimana masih ada pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri sehingga membuka laluan kepada pakatan pembangkang untuk memerintah negeri itu bagi penggal kedua.

Kita akui dalam usaha meraih sokongan rakyat, pakatan pembangkang menggunakan pelbagai taktik kotor. Tetapi kita tidak perlu terkejut kerana itulah sikap pembangkang, mencipta pembohongan, melemparkan tohmahan dan mengwujudkan persepsi adalah 'darah daging politik' mereka.

Tetapi persoalannya, bagaimana UMNO hendak menangani situasi ini? Walaupun ramai pemimpin dan ahli UMNO menyedari bahawa pakatan pembangkang menjadikan parti itu sebagai sasaran untuk dimusnahkan dalam usaha mereka menawan Putrajaya, namun masih ada antara mereka tidak mahu insaf.

Bagi mereka, kalau tewas dalam pemilihan atau tidak terpilih sebagai calon, maka tunggulah pembalasan apabila pilihan raya berlangsung, mereka akan memastikan UMNO tewas, soal apa hendak terjadi kepada BN itu soal kedua.

Sama ada hendak diakui atau tidak, inilah keadaan yang berlaku dalam UMNO setiap kali pilihan raya. Pemimpin dan ahli UMNO perlu mengakui hakikat ini dan tidak terkena 'virus sindrom penafian' yang sering dilakukan oleh pakatan pembangkang seolah-olah merekalah paling sempurna di muka bumi Allah ini.

UMNO harus bersikap berbeza, ia bersedia mengaku kesalahan dan bersedia memperbaiki kelemahan. Ia memandangkan orang Melayu bergantung kepada UMNO demi masa depan anak cucu mereka dan paling penting memelihara kesucian Islam.

UMNO harus kekal sebagai payung, pejuang dan pelindung orang Melayu serta umat Islam. Biarlah kalau dalam komponen BN pun hendak mengkritik jika usaha itu dilakukan tetapi UMNO tidak perlu goyah apatah lagi tergugat dengan tekanan mereka.

Kalaulah semua parti yang dianggotai oleh orang Melayu terlalu takut untuk membela nasib orang Melayu kerana bimbang kehilangan undi kaum lain, siapakah hendak membela kaum itu? Lagi pula sejarah sudah membuktikan, ketegasan dan kelantangan UMNO memperjuangkan orang Melayu dan mempertahankan kesucian Islam tidak pernah meminggir kaum lain.

Apabila UMNO kuat, maka ia membawa limpahan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang agama. Inilah antara utama yang harus dipertegaskan oleh UMNO dalam perhimpunan agungnya kali ini.

Keputusan PRU-13 sudah menjadi bukti bahawa UMNO tidak boleh mengalami nasib seperti Pas apabila terlalu baik sangat hendak menjaga hati PKR dan DAP kesudahannya mereka yang rugi. Sebaliknya UMNO perlu bertegas bahawa tiada kompromi sama sekali dalam mengekalkan parti itu sebagai pejuang orang Melayu, pembela agama Islam dan pelindung kepada institusi raja-raja.

Mesej ini perlu disampaikan dengan jelas dan tegas supaya orang Melayu dan umat Islam tidak berasa dipinggirkan semata-mata kerana ada persaingan untuk meraih undi bukan Melayu demi keghairahan untuk berada di puncak kekuasaan.

0 comments:

share2