Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 8, 2013

MALAYSIAKU BERDAULAT : TANAH TUMPAH DARAHKU


MEMANG menarik sekali tema sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini kerana sejak kebelakangan ini rakyat amat begitu resah dengan kemelut yang melanda negara akibat terhakisnya perasaan hormat menghormati antara sesama sendiri.

Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku kena pada masanya sebagai memberi peringatan dan iktibar bahawa tiada siapa yang akan mempertahankan maruah negara kecuali rakyat Malaysia sendiri. Jika diteliti tema tersebut ia membawa maksud untuk menyemai sifat perpaduan yang berpaksikan kepada ungkapan patriotik dan kesatuan negara bangsa.

Harapannya adalah tidak berlaku lagi peristiwa di mana sambutan Hari Kemerdekaan dicemari oleh kerana perbezaan ideologi politik seperti yang telah menimpa pada tahun lepas. Terdapat segelintir kelompok masyarakat yang tidak mahu turut serta merayakan sambutan kemerdekaan kerana tidak sehaluan fahaman politik dan fenomena keengganan menyambut kemerdekaan kali ke-55 tahun lepas sudah mencapai tahap merunsingkan.

Mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan walaupun dianggap satu isu remeh dan agak lucu, tetapi hakikatnya adalah satu usaha untuk memperkecilkan dan seterusnya merosakkan sambutan kemerdekaan yang telah disusun pada ketika itu.

Berbeza pula dengan jiran Malaysia iaitu Singapura, suasana menyambut hari kemerdekaan ke-47 dengan sambutan perarakan dan diikuti dengan ucapan rapat umum pada tahun lepas, tidak timbul langsung isu parti pembangkang pulau tersebut yang cuba memboikot atau menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan mereka.

Mengambil pendekatan untuk tidak mahu turut serta dalam acara sambutan kemerdekaan akan hanya memberi modal politik yang cetek dalam jangka masa pendek. Tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi adalah ia bakal memberi kesan kepada aspirasi negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Tanah Tumpahnya Darahku membawa maksud yang begitu dalam dan penuh bermakna. Sebab itu tema sambutan kali ini boleh dirangkumi kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara yang amat begitu kritikal untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.

Patriotisme rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya sukar ditandingi oleh rakyat negara lain. Walaupun Presiden George Bush dikritik hebat kerana polisi beliau berkeras mahu mengekalkan tentera AS di Iraq pada ketika itu, tetapi rakyat beliau tetap memberi sokongan padu kepada anggota tentera melalui peruntukkan kewangan pertahanan yang lumayan.

Begitu juga dengan semangat patriotisme selepas serangan 11 September 2001 mempamerkan bagaimana rakyat AS yang berbagai-bagai keturunan dan asal usul mampu bersatu mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Sebab itu pada tarikh 4 Julai setiap tahun, iaitu sambutan Hari Kemerdekaan AS, rakyat mereka begitu mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan di mana tidak timbul elemen paksaan untuk melakukan sesuatu.

Singapura juga diandaikan mempunyai rakyat yang mempunyai semangat patriotik yang agak tinggi. Ada pihak yang membuat telahan semangat luar biasa cintakan negara ini timbul kerana pemerintah Singapura bijak mengatur strategi seolah-olah negara mereka perlu sentiasa berwaspada. Tetapi satu hakikat yang sukar ditolak ialah pada setiap sambutan Hari Kemerdekaan yang jatuh pada 9 Ogos, rakyat Singapura bersama-sama menyertainya dengan penuh ikhlas tanpa ada unsur paksaan atau berpura-pura.

Pada hari yang mulia ini ada baiknya rakyat Malaysia tidak kira anutan agama, bangsa atau fahaman ideologi politik menilai kembali tahap patriotisme mereka atau dengan lebih mudah di mana letaknya jati diri mereka.

Ketika kemuncaknya peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, majoriti rakyat telah mempamerkan semangat patriotik dan jati diri yang agak tinggi dengan memberi sokongan padu kepada anggota polis dan tentera yang dikatakan bersabung nyawa berhadapan dengan pengganas.

Jika sebelum ini mungkin ada segelintir yang sangsi dengan kekentalan jiwa rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan isu yang berkait rapat dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara, sudah pasti akan membuat tafsiran bahawa jika berdepan dengan ancaman, rakyat Malaysia akan bersatu teguh di belakang pemerintah.

Tidak dapat dihindari bahawa terdapat rakyat Malaysia yang merasa begitu selesa dengan keadaan aman pada masa sekarang sehingga langsung alpa dengan patriotisme mereka. Mungkin ada yang merasakan apa perlu menunjukkan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan kerana negara bukannya berada di rantau yang penuh dengan ancaman. Lagi pun, ada yang berpendapat Hari Kemerdekaan sudah menjadi perkara lazim kerana disambut pada setiap tahun.

Jangan pula kita menjadi seperti rakyat Britain yang tidak mempunyai satu kaedah untuk mempamerkan semangat patriotisme kerana negara tersebut tidak mempunyai sambutan Hari Kemerdekaan atau pun sambutan yang selari dengan kedaulatan sesebuah negara.

Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyedari akan kepincangan tersebut dan berusaha dengan keras untuk mewujudkan satu hari ala Hari Kemerdekaan. Beliau pernah memberi hujah; "Jika rakyat Perancis mempunyai Bastille Day dan rakyat Amerika pula begitu bangga dengan Independence Day, maka tiada sebab rakyat Britain tidak mempunyai mekanisme yang serupa untuk meraikan kedaulatan negara mereka".

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

0 comments:

share2