Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 17, 2013

KOMPLEKS TERNAKAN IKAN STURGEON BAKAL DIBINA DI PAHANG


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang bakal menyaksikan pembangunan ladang ternakan ikan sturgeon bernilai RM120 juta di Pahang.

Pertukaran MoU usaha sama antara Felda dengan syarikat Korea Selatan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dengan Pengerusi MMC Hassed Co. Ltd., Kim Jin Ho di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam satu kenyataan berkata, Jerantut dan Jengka di Pahang telah dikenal pasti sebagai antara lokasi berpotensi untuk projek tersebut dan ia dijangka memberi kesan limpahan ekonomi kepada 1,300 peneroka Felda dan ahli keluarga mereka.

ECER memberitahu, kapasiti penuh ladang ternakan tersebut ialah mengeluarkan 30 tan metrik kaviar iaitu telur ikan sturgeon setiap tahun.

''Dengan harga pasaran kaviar yang mencecah RM9,000 hingga RM15,000 sekilogram, projek ini dijangka menjana pendapatan bulanan sebanyak RM10,000 kepada warga Felda yang menyertai projek ini, tempoh bayaran balik ialah selama tujuh tahun," kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Projek ternakan ikan sturgeon merupakan satu daripada 10 projek pelaburan baharu yang diumumkan ECER dalam majlis pertukaran MoU pelaburan antara pelabur dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini.

Menurut kenyataan ECER, kompleks ternakan ikan sturgeon seluas lapan hektar tersebut yang dilengkapi kawasan pameran, akuarium dan pusat penyelidikan dijangka menjadi sebuah pusat tarikan pelancong utama di ECER.

''Pembangunan kompleks ini akan bermula pada 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.

''Konsep ladang ikan sturgeon ini akan diperluaskan untuk meliputi peneroka Felda di kawasan berhampiran bagi mewujudkan sebuah ladang akua ikan sturgeon serantau," kata kenyataan itu.

0 comments:

share2